Tiga exco Pas kekal, Azmin sedia bincang kemelut

PETALING JAYA: Khidmat tiga anggota exco PAS dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor masih kekal sehingga kini.

“Mereka masih menjalankan tugas seperti biasa,” kata Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bernama melaporkan, Azmin sedia mengadakan sebarang pertemuan dengan Pas bagi membincangkan kemelut yang melanda hubungan PKR-Pas.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Kongres Nasional Tahunan Wanita Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ke-12 pada Jumaat, Azmin berkata, bersama-sama barisan kepimpinan tidak membenarkan PKR menjadi “tebusan politik”.

Beliau mahu memastikan PKR menjadi parti bermaruah dan sedia menggalas amanah rakyat.

Menurut Azmin, PKR terus menggembleng seluruh tenaga dan pemikiran bagi menangkis setiap cabaran.

Sementara, memetik Astroawani, Azmin berkatal “krisis bukan masalah”.

“Krisis adalah peluang untuk tunjukkan kita mampu jadi pengaman. Kita adalah parti masa hadapan,” ujar Azmin.

Beliau memberi amaran menentang pihak yang cuba menggugat kestabilan kerajaan negeri yang dianggap pengkhianat amanah rakyat.

Bercakap di hadapan sekitar 1,000 perwakilan di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Azmin berkata, beliau mahu krisis yang dihadapi diuruskan dengan tenang. – Sarawakvoice