Dr Awang Azman Awang Pawi

Kerusi Pujut ialah salah satu kawasan DUN dalam kawasan Parlimen Miri. Kerusi ini antara 11 kerusi panas pada pilihan raya negeri Sarawak pada tahun lepas. Kerusi ini   menjadi rebutan hingga berlakunya pertandingan empat penjuru yang terdiri daripada BN, BEBAS, DAP dan PAS.

Datuk Hii King Chiong, iaitu calon langsung BN yang sebenarnya mewakili parti UPP. Datuk Hii ialah ahli perniagaan terkemuka dan dikenali sebagai  dermawan. Beliau  membawa isu pembangunan seperti pemparitan, jalan raya, dan  keselamatan termasuk keperluan kamera litar tertutup dalam kempen pilihan raya negeri (PRN) yang lalu.

Pemegang tiket bebas pula ialah Fong Pau Teck yang merupakan penyandang yang pernah dipecat daripada DAP pada tahun 2013  atas dakwaan tidak membayar sumbangan wajib bulanan kepada parti. Selain itu  Jofri Jaraie  selaku Yang Dipertua PAS kawasan Miri juga bertanding atas tiket PAS.

Dr Ting Tiong Choon pula mewakili  DAP yang merupakan calon muka baharu dan sering dikempenkan oleh lawannya sebagai bukan penduduk tempatan. Namun, Dr Ting  menggunakan isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, GST, IMDB untuk menarik sokongan khususnya pengundi Cina .

Pada PRN Sarawak tahun lalu, DAP memperoleh 8,899 undi manakala BN pula memperoleh 7,140 undi.  Bebas pula mendapat 375 undi manakala Pas mendapat 513 undi. Meskipun BN  tewas namun aura Adenan sebagai Ketua Menteri berjaya menurunkan prestasi DAP apabila berjaya mengurangkan  sekitar 11 peratus undi pembangkang.

PRK, Pertarungan dan Masa Depan Kerusi Pujut

Apabila SPR  mengumumkan PRK pada 4 Julai 2017 nanti, maka akan timbul  persoalan siapakah yang akan akan mewakili kerusi BN?  Adakah calon langsung  BN terdahulu, iaitu Datuk Hii yang sudah diterima ramai  dan  kurang  2000 undi sahaja untuk menang dalam PRN lepas. Datuk Hii dikenali  bukan sahaja sebagai dermawan, malah sudah dikenali ramai masyarakat Pujut.  Beliau sudah lama berkempen sebelum PRN lagi.

Mahukah parti SUPP mengalah diri? Sedangkan kerusi Pujut ialah kerusi tradisi SUPP.  Pada PRN lepas, kerusi  tersebut diserahkan kepada calon langsung BN  dan tanpa bantahan kerana menghormati permintaan Adenan Satem yang tegas mahu  konflik SUPP dan UPP diselesaikan demi kemenangan BN dalam PRN tersebut.

Namun mahukah kepimpinan SUPP sekali lagi beralah kepada UPP? Hakikatnya,  status UPP sekarang belum lagi diterima sebagai komponen BN Sarawak.

Pastinya, parti SUPP  menganggap UPP tidak ada hak mengambil kerusi tradisi mereka. Adakah pada PRN lepas kerusi  tersebut cuma ‘dipinjamkan sementara’ oleh UPP atas tiket calon langsung?

Adakah usaha UPP untuk kembali bersama SUPP? Mengapakah UPP dalam keadaan selesa tanpa belum diterima  sebagai komponen BN yang sah lagi?  Datuk Seri Wong Soon Koh  terus diberikan kepercayaan  apabila dilantik memegang portfolio Kementerian baharu, iaitu Perdagangan Antarabangsa dan E Dagang selain dilantik semula sebagai Menteri Kewangan Kedua, iaitu kementerian yang  sangat strategik dan berkuasa dalam kabinet negeri Sarawak.

Begitu juga Dr Jeril Susil  yang diberikan kepercayaan  menguruskan portfolio pengangkutan. Sebelum ini, Dr Jerip bertanggungjawab dalam sektor perkhidmatan kesihatan. Portfolio juga kementerian yang penting bagi  mengisi  wawasan Ketua Menteri Sarawak  dalam membina Sistem Transit Aliran Ringan (LRT). Adakah ini bermakna UPP akan bertanding pada PRK di Pujut  untuk kali kedua?

Strategi Politik

Pada masa yang sama, kebarangkalian tinggi  kepimpinan parti SUPP untuk membuka mana-mana calon berpotensi  termasuk dari DAP bertanding atas tiket BN kemudian menyertai SUPP? Dr Sim menyatakan baru-baru ini, calon dari mana-mana  parti termasuk UPP boleh bertanding dengan syarat  letak jawatan parti untuk bertanding sevagai calon langsung. Berkesan strategi ini? Bukankah  pada PRN  lepas situasi seumpama ini juga berlaku namun UPP tetap tidak kembali kepada SUPP?

Sebenarnya apabila UPP menggunakan usul di DUN bagi melucutkan status sebagai wakil rakyat  terhadap Dr Ting isu ini menjadi komplek. Hal ini kerana perlu ditangani dengan teliti kerana memberikan imej kepada parti yang mengusulkannya. Daripada perspektif  pentadbiran awam dan undang-undang adalah sewajarnya diserahkan kepada pihak mahkamah untuk memutuskan berhubung tuduhan dua kerakyatan itu sesuai dengan konsep pengasingan kuasa di antara pemerintah (eksekutif), perundangan (legislatif) dan kehakiman untuk ‘semakan dan imbangan’ dalam sistem urus tadbir.

Langkah itu mempunyai  implikasi pro dan kontra terhadap amalan pengasingan kuasa dan demokrasi. Sekiranya perkara ini (tuduhan) terbukti di mahkamah maka ini merupakan kes pertama  berlaku dalam sejarah Malaysia.  Secara logik kes Dr Ting dibuang atas masalah teknikal dan tidak akan ada lagi. Dalam undang-undang mengatakan sesebuah kes itu tidak boleh dibicara dan dan dibawa ke mahkamah  untuk kedua kali. Itu pendapat golongan yang arif dalam isu seumpama tersebut.

Tidak timbul isu  dalam berita angin kononnya sudah  ada pemenang kerana kononnya pemenang undi  kedua tinggi akan menggantikan dan mengambil tempat sebagai wakil rakyat!  Jenaka politik ini tidak benar. Kalaulah benar sudah lama kekosongan kerusi Adenan Satem dan Wong Ho Leng akan digantikan oleh PKR dan Supp. Anggaplah sahaja berita angin tersebut sebagai hiburan manusia.

Menang Pertempuran Kalah dalam Peperangan?

Berdasarkan percaturan politik semasa, maka kalau boleh PRK ialah langkah terakhir  jika perlu.  Semua tahu bahawa  kerusi Pujut pada hakikatnya ialah kubu kuat DAP.  Maka  dalam strategi politik perlulah  dielakkan  agar tidak berlaku situasi ‘menang dalam pertempuran tetapi kalah dalam peperangan’ dalam kemelut situasi politik ini.  

BN perlu menggunakan  segala kekuatannya untuk menang dalam PRK ini kerana ia memberi nilai dan petunjuk sokongan pengundi Cina terhadap terhadap kepimpinan BN  tempoh mutakhir ini. Sekiranya BN tewas ia  akan memberikan impak kepada BN negeri Sarawak dan  boleh menjejaskan keseluruhan momentum BN dalam PRU yang bakal dilangsung tidak lama lagi.  

Mungkinkah Speaker DUN akan memberikan ruang kepada DAP untuk menyelesaikan  ini menggunakan saluran mahkamah mengenai perlucutan oleh DUN, atau bolehkah PRK ini serentak dengan PRU agar  tidak membazirkan sumber, kos dan tenaga?

Apa pun, SPR bertindak profesional  apabila  berpendirian bahawa sekiranya keputusan mahkamah mengekalkan jawatan Adun Dr Ting Tiong Choon, maka PRK tidak akan diadakan. Bukankah ini memberikan isyarat-isyarat politik  kepada sesiapa yang mahu mentafsirkannya? – Sarawakvoice