Pakar yakin, ekonomi Malaysia menuju pemulihan

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi negara mencatat pertumbuhan kukuh 5.6 peratus pada suku pertama 2017 berbanding 4.1 peratus bagi tempoh sama 2016.

Menurut BNM, prestasi berkenaan merupakan yang terbaik sejak tempoh sama 2015 mencatat KDNK 5.8 peratus.

Merespons laporan tersebut, Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan optimis pertumbuhan ekonomi Malaysia mula pulih.

Selain digambarkan sentimen positif pasaran saham, ekonomi negara semakin pulih dipacu peningkatan eksport dan harga komoditi serta prestasi sektor pembuatan yang positif.

Memetik laporan Bernama pada Jumaat, Nazri Khan menggambarkan pemulihan ekonomi yang disifatkan kalangan penganalisis terus bertahan sehingga akhir tahun ini.

Nazri mengakui, “saya boleh katakan tempoh buruk itu sudah berakhir.”

Manakala, profesor ekonomi di Fakulti Perniagaan Sunway University, Dr Yeah Kim Leng berkata pertumbuhan suku pertama 2017 Malaysia lebih baik daripada jangkaan.’

Hal ini menurut beliau mengejutkan ramai pakar ekonomi dan penganalisis pasaran.

Menurutnya, perkembangan positif lain menyaksikan kesemua sektor mencatat pertumbuhan positif dengan prestasi memberangsangkan.

Sementara, Ketua Pakar Ekonomi MIDF Research Dr Kamaruddin Mohd Nor pula merespons perkembangan ini berkata, pertumbuhan memberangsangkan itu menunjukkan perkembangan ekonomi Malaysia meluas.

Memetik Bernama, beliau berkata, “sektor bekalan, perkhidmatan, pembuatan, pembinaan, pertanian dan pelombongan  mencatat prestasi lebih baik.”

Pertanian khususnya sawit dan getah merekodkan pertumbuhan dua angka. – Sarawakvoice