Najib adakan lawatan kerja ke Arab Saudi

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Arab Saudi, bermula hari ini, untuk menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat, atas jemputan Raja Salman Abdulaziz Al Saud.

Menurut kenyataan Kementerian Luar,  sidang kemuncak berkenaan diadakan atas inisiatif kerajaan Arab Saudi dan berbetulan dengan lawatan negara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Arab Saudi.

“Menteri Kebudayaan dan Informasi Arab Saudi dan Duta Khas kepada  Raja Salman  Abdulaziz,  Dr Awwad  Saleh Al-Awwad memanjangkan jemputan itu semasa mengadakan lawatan dan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri di Putrajaya pada 11 Mei,” kata kenyataan itu.

Gambar fail

Kenyataan itu menyebut, Najib akan diiringi Menteri Pertahanan yang juga Menteri Dengan Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Selain menghadiri sidang kemuncak itu, perdana menteri juga dijadual menghadiri perasmian Pusat Global Bagi Memerangi Ideologi Pelampau di Mu’tamarat, Nasiriyah di Riyadh, kata kenyataan itu.

“Malaysia dijangka memainkan peranan utama dalam pembangunan pusat berkenaan.

Ini satu pengiktirafan bukan sahaja oleh Arab Saudi, tetapi dari seluruh dunia berhubung peranan aktif dan penting yang dimainkan Malaysia dalam memerangi keganasan di peringkat global,” kata kenyataan itu.

Menurut Kementerian Luar, pada hari terakhir lawatan, Najib dijangka menghadap Raja Salman Abdulaziz, Putera Mahkota Mohammad Naif Al Saud dan Timbalan Putera Mahkota Mohammed Bin Salman Al Saud.

“Pertemuan itu akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk membincangkan isu-isu dua hala dan serantau yang menjadi kepentingan bersama,” tambah kenyataan itu.

Malaysia dan Arab Saudi bekerjasama rapat dalam mempromosi keamanan, kestabilan dan keselamatan melangkaui dunia Islam, kata kenyataan itu.

“Lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi itu dijangka meningkatkan usaha-usaha itu serta mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang sudah pun berada pada tahap yang tinggi,” kata kementerian itu. Bernama