Mark Hartmann dilepaskan, Lee Jong-ho masih berpeluang – Posa

KUCHING: Bukan lagi khabar angin atau omongan media sosial, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais semalam mengesahkan penyerang import skuad Ngap Sayot, Mark Andrew Hartmann akan dilepaskan ketika jendela perpindahan pemain dibuka bulan ini.

Menurutnya, pihaknya tidak mempunyai pilihan lain kecuali menggugurkan Hartmann berikutan prestasi yang amat mengecewakan.

“Kita sedang menyediakan surat penamatan kontrak dan berharap, sebagai pemain profesional, beliau dapat menerima keputusan ini secara terbuka,” katanya lagi.

Hartmann dikecam hebat kerana kegagalannya beraksi dengan baik, dan menjaringkan gol, biarpun berhadapan peluang yang baik.

“Kita tidak mahu berprasangka buruk, justeru jalan yang terbaik adalah berpisah.

Katanya, nasib seorang lagi pemain, Lee Jong-ho yang juga dalam radar pemerhatian masih samar.

“Mungkin kita juga akan melepaskannya sekiranya tiada peningkatan, dan ada pemain lain yang menunjukkan kemampuan setanding.

Jong-ho dan Hartmann tidak diturunkan dalam kesebelasan utama David Usop sejak tiga aksi terakhir ini, dan diganti pemain-pemain tempatan.

“Ternyata dalam aksi tersebut, para pemain muda kita mampu menggalas tanggungjawab dengan lebih baik dan sekurang-kurangnya kita tidak kalah.

“Ia perkembangan yang positif sebenarnya, kerana kita sedang dalam proses pembentukan pasukan baharu.

“Tidak guna kita menggunakan khidmat pemain import jika prestasi mereka sama atau ‘par’ dengan pemain tempatan,” tambahnya lagi.

Dua lagi tonggak import Sarawak, Mateo Roskam dan Demerson Bruno Costa, kini dalam situasi “selamat” berikutan prestasi yang konsisten. – Sarawakvoice