Malaysia eksport RM20 bilion produk getah tahun ini

SHAH ALAM: Malaysia yakin dapat mengeksport RM20 bilion produk getah tahun ini, berikutan peningkatan 39 peratus pendapatan daripada eksport getah dan produk getah pada suku pertama 2017.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, pada suku pertama, industri itu memperoleh RM7.8 bilion berbanding RM5.6 bilion pada suku yang sama 2016.

“Sebagai pengeluar dan pengeksport sarung tangan getah terbesar di dunia, kami mengharapkan inovasi dan teknologi baharu untuk sektor itu, sebagai sebahagian daripada revolusi perusahaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Industri Getah Antarabangsa 2017 di sini, semalam.

Menurutnya, China adalah pengimport terbesar getah dan produk getah Malaysia pada suku pertama tahun ini, iaitu 27 peratus daripada jumlah eksport pada suku berkenaan, diikuti Amerika Syarikat, 20 peratus.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Penggalakan Eksport Getah Malaysia, Low Yoke Kiew berkata, eksport ke China telah meningkat berikutan keadaan ekonominya yang semakin baik.

“Kini China adalah pasaran utama kita. Ia membuka peluang besar untuk produk getah kita dan mereka sangat berminat terhadap getah mentah kita untuk pengeluaran tayar,” katanya.

Mah berkata, Malaysia merancang mengurangkan buruh asing dalam industri getah sehingga 75 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kita perlu menambah penggunaan automasi dan mekanisasi dalam operasi bagi meningkatkan produktiviti serta untuk menjamin daya tahan industri itu dalam jangka panjang,” katanya dengan menambah yang kerjasama rapat antara kerajaan dan industri pengeluaran getah, sektor itu akan terus mencapai potensi besar dalam mencatat kejayaan lebih tinggi pada masa depan. Bernama