Inisiatif ‘BRI’ China dijangka tingkat perdagangan dengan Asean kepada US$2.1 TRILION

KUALA LUMPUR, 19 Mei  (Bernama) –  Inisiatif  ‘Belt and Road’  (BRI) China dijangka meningkatkan aliran perdagangan antara China dengan enam ekonomi terbesar ASEAN – Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam – kepada pelaburan berjumlah kira-kira US$2.1 trilion menjelang 2030, demikian menurut satu analisis oleh HSBC .

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia Bhd Mukhtar Hussain berkata BRI merupakan satu strategi untuk membina rangkaian pengangkutan dan kapasiti logistik untuk meningkatkan aliran perdagangan antara China dan lebih  60 negara di Asia, Timur Tengah, Afrika dan Eropah kepada anggaran US$2.5 trilion setiap tahun dalam dekad akan datang, daripada kira-kira US$1 trilion sekarang.

Beliau berkata analisis yang sama menunjukkan kerajaan-kerajaan ketika ini mempunyai rancangan untuk melaksanakan hanya US$910 bilion daripadanya.

“Dengan memberikan insentif yang sesuai, sektor swasta boleh merapatkan jurang itu – terutamanya sekiranya syarikat di Asia dan Eropah boleh mencari peluang terbaik untuk bekerjasama,” kata Mukhtar dalam satu kenyataan semalam.

Hubungan perniagaan antara ASEAN dan Eropah telahpun kukuh, katanya.

“Lebih 300 perusahaan dibiayai China mempunyai operasi di 26 zon kerjasama ekonomi di lapan negara ASEAN, melabur sejumlah US$1.77 bilion, pada Oktober 2016 di bawah naungan projek BRI,” katanya.

Ekonomi-ekonomi ASEAN termasuk Malaysia, Thailand dan Indonesia telah melancarkan perjanjian berkaitan BRI dengan China, dengan beberapa projek kini memasuki tahap pelaksanaan dan banyak lagi yang sedang dalam perancangan, katanya.

“Memandangkan lokasi strategik Malaysia sepanjang Selat Melaka – satu daripada laluan perdagangan paling sibuk di dunia – negara dilihat sebagai penghubung penting bagi pelan prasarana besar-besaran China.

“Ia terutamanya merupakan komponen utama laluan kereta api laju dari Selatan China menerusi Laos ke pesisir pantai timur perindustrian Thailand dan kemudiannya ke Malaysia dan Singapura,” katanya. Bernama