Harum di Billboard, kini “Crush” Yuna tercalon Anugerah Centric di Los Angeles

KUALA LUMPUR: Yuna nama glamor kepada Yunalis Zarai yang kini melakar nama besar di peringkat dunia menerima dua pencalonan menerusi lagu Crush, nyanyian duet bersama penyanyi terkenal Usher.

Lagu tersebut tercalon bagi kategori Anugerah Centric 2017 anjuran saluran Black Entertainment Television (BET) yang siarannya berlangsung 25 Jun depan di Microsoft Theater, Los Angeles.

Pencalonan ini, meletakkan Yuna sebagai penyanyi pertama Malaysia yang tersenarai dalam anugerah BET di Amerika Syarikat.

Anak Kedah ini bersaing dengan lima lagi penyanyi lain iaitu Fantasia, Kehlani, Mary J. Blige, Solange dan SYD merebut anugerah berkenaan.

Beberapa artis dunia terkenal lain yang turut tercalon dalam anugerah berpestij ini ialah Beyonce, Rihanna, Bruno Mars dan ramai lagi.

Yuna kini teruja dan meletakkan harapan tinggi menerima pencalonan anugerah berprestij  tersebut.

Pertengahan tahun lepas, Yuna mengembangkan sayapnya di persada antarabangsa apabila Crush berada dalam senarai terhebat carta lagu paling popular AS.

Lagu Crush dendangan Yuna bersama Usher menduduki 10 tangga teratas carta Top 10 Billboard bagi Album R&B Terbaik setanding Hathaway dan Adele.

Selain Yuna, penyanyi kelahiran Sarawak, Zee Avi pada 1 September 2011 pernah mencatat sejarah apabila albumnya, Ghostbird berjaya memasuki Billboard 200. – Sarawakvoice