Fenomena Sekolah Kurang Murid rugikan modal insan S’wak

KUCHING: Fenomena status Sekolah Kurang Murid (SKM) khususnya berlaku di luar bandar dan pedalaman terpencil merugikan sumber modal insan berpotensi untuk Sarawak.

Bagi Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin Jawong, status SKM merugikan kerana fenomena ini membantutkan negeri melahirkan modal insan berpotensi.

Selain merugikan individu terbabit, fenomena SKM merugikan keluarga murid serta memberi kesan kepada negeri dan negara.

Fenomena SKM menyebabkan terencatnya penyediaan prasarana lebih baik dalam menyediakan guru pakar untuk mengembangkan prestasi pelajar.

Berucap pada penggulungan Persidangan Pertama bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) di DUN, Petra Jaya pada Jumaat, Manyin menurut Utusan Sarawak berkata, sekolah yang menghadapi fenomena SKM, muridnya tidak dapat menikmati persekitaran pembelajaran memberangsangkan.

Pelajar yang sepatutnya diberi peluang belajar dalam suasana prasarana dan kemudahan lengkap dan kondusif terbukti mampu menunjukkan prestasi lebih baik menjadi profesional berjaya.

Manyin mahu semua pihak termasuk peringkat Persekutuan bersama-sama merangka pelan menyeluruh menyelesaikan isu ini. – Sarawakvoice

Foto Prestly Ng