Calon BN di Pujut diumum selepas Gawai Dayak — Abang Jo

KUCHING: Sesuai dengan tarikh pilihan raya DUN N74 Pujut yang diumumkan akan diadakan pada 4 Julai depan, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg hari ini menjelaskan pihaknya tidak akan tergesa-gesa dalam hal tersebut.

Sebaliknya kata Ketua Menteri lagi, BN hanya akan mengadakan mesyuarat mengenainya selepas sambutan Gawai Dayak pada 1 dan 2 Jun depan.

“Tunggu selepas Gawai,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Pengurusan Sekolah Rendah Chung Hua Kuching dan Sarawak Club di pejabatnya di Dewan Undangan Negeri Sarawak, semalam.

Kerusi tersebut kosong susulan pelucutan kelayakan penyandangnya, Dr Ting Tiong Choon daripada kerusi tersebut pada Jumaat minggu lalu.

Sebelum itu, Dr Ting yang mewakili parti DAP memperoleh 8,899 undi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak pada Mei tahun lalu, untuk menang kerusi tersebut dengan majoriti 1,759 undi.

Namun beliau disingkirkan daripada menjadi jemaah Dewan Undangan Negeri dengan setelah kalah kepada usul pelucutan yang dikemuka oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Sri Dr Wong Soon Koh menerusi undi 70-10.

Suruhanjaya Pilihan Raya dalam mesyuaratnya hari ini turut menetapkan tarikh penamaan calon pada 20 Jun depan, yang melibatkan 27,078 pemilih yang berdaftar dalam Daftar Pemilih Induk 2016.

Pemangku Setiausaha Majlis Bandaraya Miri, Morshidi Federick pula dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Keputusan Abang Johari untuk tidak tergesa-gesa dalam menangani isu ini, ada kaitan dengan perebutan kerusi tersebut oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Malah Pengerusi SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian awal-awal lagi mengatakan tiada keputusan muktamad sebelum ini mengenai kerusi yang kali terakhir dikuasai oleh BN melalui Andy Chia.

Ia cabaran kedua yang terpaksa diharungi Abang Johari selaku Pengerusi BN negeri, selepas PRK Tanjung Datu.

Dalam PRK Tanjung Datu pada 18 Februari lalu, BN yang menurunkan Datuk Amar Jamilah Anu menang besar apabila memperoleh 6,573 undi untuk menewaskan dua calon pembangkang dengan majoriti 6,443 undi. – Sarawakvoice