BN umum calon PRK Pujut selepas Gawai, adakah SUPP lwn. Dap?

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang juga pengerusi BN negeri berkata, BN mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut selepas sambutan Gawai awal Jun ini.

BN negeri tidak tergesa-gesa dan bermesyuarat dalam masa terdekat memutuskan calon dan persiapan menghadapi PRK DUN Pujut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mesyuarat khas pada Jumaat menetapkan PRK Pujut diadakan 4 Julai, manakala penamaan calon pada 20 Jun.

PRK Pujut diadakan berikutan pelucutan kelayakan keanggotaan penyandangnya Dr Ting Tiong Choon dari Dap sebagai ADUN oleh DUN Sarawak, 12 Mei lepas.

Sebelum itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan e-Dagang Negeri Datuk Seri Wong Soon Koh yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) mengusulkan pelucutan ADUN Pujut dengan mengemukakan status dua warganegara Malaysia dan Australia milik Ting.

DUN meluluskan usul selepas mendapat sokongan 70 anggota DUN, manakala 10 menentang.

Pada pilihan raya negeri ke-11 Mei tahun lepas, Dr Ting menang dengan majoriti 1,759 undi menewaskan tiga calon lain iaitu Datuk Hii King Chiong (BN) Jofri Jaraiee (Pas) dan Fong Pau Teck (Bebas).

Berkaitan perkembangan yang sama, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian berkata parti SUPP bersedia menghadapi PRK Pujut dan yakin kerusi tersebut diperuntukkan untuk SUPP.

Pengerusi Dap Sarawak Chong Chieng Jen, pada sidang akhbar, walaupun mendakwa PRK tersebut tidak adil kepada Dap, namun Dap akan mengambil bahagian dalam PRK berkenaan. – Sarawakvoice