Anjung Usahawan, Pavilion Produk S’wak, pasarkan produk tempatan ke pasaran luar

KUCHING: Anjung Usahawan menyediakan prasarana kepada usahawan untuk mengumpul dan mengembangkan rangkaian pemasarkan produk keluaran usahawan Sarawak.

Selain membuka dua Anjung Usahawan di Sri Aman dan Balingian, Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan membuka inisiatif serupa di Merapok, Betong dan Gedong dan Debak.

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika berucap pada penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18, berkata program Pavillion Produk Sarawak di Kuala Lumpur diwujudkan bertujuan mengembangkan pasaran produk anak negeri di Semenanjung.

Pavilion ini mengumpul, mempamer dan promosi, selain menjual lebih 200 produk tempatan di Semenanjung termasuk ikan tahai, kek lapis, tebaloi, terubuk masin, gula apong, lada dan sebagainya.

Selain itu, kementerian turut menyediakan program khusus untuk usahawan tempatan iaitu Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) peringkat Sarawak dan Showcase Usahawan Sarawak (SUS). – Sarawakvoice