S’wak sasar kehadiran 5 juta pelancong 2017, bawa masuk RM9 bilion

KUCHING: Sarawak menyasarkan mengutip hampir RM9 bilion dengan kemasukan 5 juta pelancong ke negeri ini 2017.

Pencapaian ini tidak mustahil kerana pada 2016, seramai 4.66 juta pengunjung memasuki Sarawak menyumbang pendapatan RM8.37 bilion.

Menjelang tempoh suku pertama (Januari-April) tahun ini, 1.67 juta pelancong dilaporkan memasuki Sarawak meningkat 17.26 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah kerajaan meletakkan industri pelancongan sebagai salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama (KRAs) di bawah Rancangan Transformasi Sosioekonomi (SETP) negeri menelan peruntukan RM60 juta.

Justeru, kerajaan meluluskan beberapa projek KRAs untuk dilaksanakan sepanjang 2017 seperti penjenamaan Sarawak, menaik taraf prasarana pelancongan.

TN50 bersama Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah di UITM Kota Samarahan semalam.

Selain itu dilaksanakan projek pembangunan produk baru, menaik taraf destinasi tarikan pelancongan, mewujudkan aktiviti sampingan pada acara ikonik serta menambah penerbangan terus ke negeri ini.

Selain memberi penekanan kepada Kebudayaan, Pengembaraan dan Alam Semula Jadi (CAN), masyarakat luar bandar digalak terlibat dalam program perambihan melalui Ekopelancongan Berasaskan Komuniti (CBET).

Perambihan atau homestay mendapat perhatian pelancong sehingga pada 2016, seramai 35,971 pelancong menginap di pusat perambihan menyumbang kutipan lebih RM4 juta.

Menurut Abdul Karim selain pusat perambihan, seramai 111,174 pengunjung pada tahun ini mengunjungi taman negara, meningkat 14.5 peratus berbanding 2016.

Bercakap dalam ucapan penggulungan sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-18 di Petra Jaya pada Khamis, Abdul Karim menambah, sektor pelancongan perubatan di Sarawak turut berkembang, menyumbang pada pertumbuhan ekonomi.

Sarawak merekodkan kehadiran 21,603 pelancong asing pada 2016, yang datang untuk tujuan perubatan dengan menyumbang pendapatan RM27.36 juta.

Selain itu, kerajaan negeri turut sedia membangunkan pelabuhan dan terminal laut dalam bagi tujuan sektor pelancongan pelayaran yang berpotensi pasa masa depan.

Pada 2016, Sarawak menerima kehadiran 3,671 pelancong pesiaran dengan ketibaan tujuh kapal pesiaran.

Untuk 2017, setakat Mac sejumlah 1,006 penumpang kapal pesiaran mengunjungi negeri ini dengan sasaran sepanjang tahun enam kapal pesiaran dijangka tiba membawa 2,000 penumpang keseluruhannya. – Sarawakvoice