Sarawak mahu lebih banyak kapal persiaran singgah ke negeri ini — Karim

KUCHING: Sarawak mensasarkan persinggahan lebih kerap kapal-kapal persiaran ke negeri ini berikutan kecendurangan generasi baharu dunia melancong menggunakan kaedah tersebut.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pada tahun lalu, Sarawak menerima ketibaan 3,671 tetamu daripada tujuh kapal persiaran yang singgah ke negeri ini.

“Pada suku pertama tahun ini, Pelabuhan Kuching dan Bintulu telah menerima tiga kapal persiaran iaitu Siversea Cruises yang berpangkalan di Monaco dan Oceana Cruises yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

“Sehingga Mac lalu, jumlah pelancong daripada segmen ini telah menjangkau 1,006 penumpang,” katanya ketika menyampaikan penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri semalam.

Foto Kredit Sarawak Travel

Abdul Karim menjelaskan, Sarawak menjangkakan ketibaan enam kapal persiaran pada tahun ini, dengan kapasiti 2,000 penumpang.

“Bagi mencapai kejayaan dalam segmen pelancongan ini, Sarawak perlu mampu menarik kapal-kapal mega mewah yang boleh memuatkan 4000 ke 5000 penumpang untuk setiap ketibaan.

“Sarawak memiliki tarikan dalam lingkungan bandar seperti di Kuching dan Bintulu, namun ketiadaan pelabuhan laut dalam menghalang kapal-kapal ini berlabuh di perairan kita.

Oleh yang demikian, katanya, pihaknya akan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk membina pelabuhan laut dalam, yang dilengkapi kemudahan untuk kapal persiaran ini.

“Hanya melalui penyediaan ini, kita dapat meningkatkan jumlah pelancong melalui segmen ini,” jelasnya lagi.

Dalam pembentangan yang sama, Abdul Karim yang juga menteri baharu yang bertanggungjawab terhadap portfolio pelancongan negeri memberitahu, sejumlah 4.66 juta pelancong telah mengunjungi negeri ini pada tahun lepas, dan dianggarkan berbelanja sekitar RM8.37 bilion.

“Ia merupakan peningkatan sebanyak 3.19 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pada tahun ini katanya, kementeriannya mensasarkan kebanjiran lima juta pelancong asing, yang akan berbelanja sekitar RM8.98 bilion.

“Sehingga April lalu, sejumlah 1.67 juta kehadiran telah direkodkan, melonjak 17.26 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Ia merupakan hasil kempen agresif yang dilaksanakan kementerian sejak kebelakangan ini,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice