Sanyangore, pendeta yang mengaku memiliki nombor telefon tuhan

HARARE: Paul Sanyangore, pendeta kontroversi Zimbabwe mendakwa beliau memiliki nombor telefon tuhan yang diberikan tuhan sendiri kepadanya.

Sanyangore, nama jolokannya “Pendeta Berbakat” turut mengaku sering menerima panggilan tuhan yang memberitahu cara terbaik membantu pengikutnya.

Mengutip Oddity Central pada Khamis, Sanyangore pertama kali mendakwa memiliki  nombor telefon tuhan pada Februari lepas.

Ketika itu video beliau mendakwa menghubungi tuhan semasa bertugas di Victory World International Ministry menjadi popular di media sosial.

Dalam wawancara H-Metro, Sanyangore berkata beliau hairan melihat orang lain kagum dengan hal yang beliau lakukan — bercakap dengan tuhan.

“Ketika berdoa saya terdengar suara meminta saya menelefon terus tuhan.”

“Saya mendapat arahan di telefon tentang apa yang harus dilakukan atau katakan dan itulah yang terjadi pada hari Ahad,” ujar Sanyangore.

Beliau berjanji melancarkan rancangan baru di saluran televisyen berjudul “Heaven Online” miliknya sendiri, yang menghidangkan lebih banyak perbualan melalui telefonnya dengan Tuhan.

Sanyangore, bahkan mengatakan beliau merancang memberikan nombor telefon Tuhan kepada hadirin yang menghadiri acara khusus di Victory World International Ministry.

Sebelum ini, lelaki terbabit menyatakan akan memberikan nombor telefon tuhan pada Mei, namun hingga kini janji tersebut belum lagi ditunaikannya.

Beliau mendakwa tidak berbohong, tetapi merasakan waktunya belum sesuai sehingga sesiapa yang mahu melihat keajaiban tersebut perlu mengaku dosa mereka terlebih dahulu. – Sarawakvoice