RM140 ribu dilulus untuk selesaikan isu elektrik SMK Merapok yang telah 6 bulan bergelap — Annuar

KUCHING: Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM140 ribu untuk menyelesaikan isu ketiadaan tenaga elektrik di SMK Merapok di Lawas, kata Menteri Muda Pendidikan dan Teknologi Penyelidikan, Dr Annuar Rapaee.

Menafikan sekolah itu diabaikan atau menjadi mangsa diskriminasi, seperti yang ditular dalam media sosial, Dr Annuar menjelaskan, peruntukan tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Lawas untuk tindakan seterusnya.

“Kita telah lulus dan serahkan peruntukan tersebut kepada JKR Lawas pada bulan April lepas.

“Ia membuktikan bahawa kerajaan sentiasa menitikberatkan pendidikan dan mengutamakan kebajikan pelajar, khususnya mereka yang di luar bandar.

“Malah kita sentiasa berusaha menyediakan infrastruktur dan kemudahan asas kepada seluruh rakyat,” katanya semalam.

Annuar berkata, JKR dan Jabatan Pendidikan Lawas dijangka akan menyelesaikan permasalahan tersebut dalam masa yang terdekat.

Sebelum ini, isu blok kelas dan pentadbiran sekolah menengah berkenaan yang tidak mempunyai bekalan kuasa elektrik sejak enam bulan lepas tular di media sosial.

Ia menyebabkan kursus-kursus IT terpaksa dibatalkan, manakala guru-guru dan ibu bapa serta murid mulai berasa tertekan.

Malah muat naik status di media sosial tersebut turut mendakwa Pengarah Pendidikan Sarawak menutup mata akan isu SMK Merapok ini. – Sarawakvoice