Program makanan bantu golongan miskin tegar bandar dan pelajar IPT

PUTRAJAYA: Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Menangani Kemiskinan Bandar dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis mencadangkan agar dilaksanakan program bantuan makanan untuk golongan miskin bandar.

Program untuk miskin tegar di bandar ini melibatkan pelbagai kementerian melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dalam kenyataan yang diedarkan pada mesyuarat berkenaan, mengumumkan program bantuan makanan ini melibatkan kerjasama syarikat pasar raya besar.

Pihak pasar raya menyediakan bekalan makanan sejuk beku kepada golongan miskin ini.

Memetik Bernama, kementerian terbabit turut melaksanakan penyediaan program makanan bermasak pada harga berpatutan untuk pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta khususnya di bandar besar.

Pelaksanaan program yang melibatkan bekas pelajar sebagai operator dan petugas ini, turut mengkaji kos pengeluaran dan pengedaran dengan mengambil kira mengelak pihak ketiga mengambil kesempatan ke atas program ini.

Kerajaan turut bekerjasama dengan syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyalurkan bantuan kepada Tabung Bantuan Khas Persekutuan bagi membantu program kebajikan rakyat.

Dari segi isu pemilikan dan penyewaan rumah, kerajaan mengumpul maklumat mengenal pasti keperluan rumah dan trend harga rumah berdasarkan lokasi tertentu.

Kerajaan dikatakan memberi insentif kepada pemaju yang membina rumah mampu milik, selain menggalak penggunaan material menjimatkan seperti dalam Sistem Binaan Berindustri (IBS). – Sarawakvoice