Pembinaan Kampus Muzium Sarawak mengikut jadual, lima kubu dinaik taraf: Karim

KUCHING: Pembinaan kampus baharu Muzium Sarawak kini berjalan lancar dan mengikut jadual, kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Ketika ini kerja-kerja pembinaan telah 35 peratus siap dan galeri muzium yang baharu ini dijangka akan dibuka dan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2020,” katanya lagi.

Lapornya, pada masa yang sama, Jabatan Muzium Sarawak turut melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan dan naik taraf kubu-kubu lama sebagai muzium wilayah.

“Ini bagi membolehkan khazanah sejarah yang ada ini dikongsikan kepada umum.

Ketika ini tambahnya, kerja-kerja pemuliharaan yang diluluskan membabitkan lima kubu bersejarah iaitu Kubu Lily di Betong, Kubu Emma (Kanowit), Kubu Hose (Marudi), Kubu Sylvia (Kapit) dan Kubu Brooke (Meluan).

“Tiga daripada projek konservasi ini akan mula dilaksanakan pada tahun ini manakala dua lagi pada tahun hadapan.

Pada masa yang sama tambahnya, Kerajaan Negeri turut meluluskan RM11 juta untuk membangunkan Taman Arkeologi Santubong dan Pusat Wallace di kawasan Santubong.

“Projek ini melibatkan kerja-kerja konservasi dan pembangunan di beberapa tapak arkeologi seperti Sungai Jaong, Bongkissam, Bukit Maras dan Batu Buaya.

“Projek ini akan bermula pada tahun ini dan dijangka siap pada tahun 2019,” katanya lagi. – Sarawakvoice