PAS: Perangai Mahathir masih tidak berubah

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS berkata, bekas Perdana Menteri masih tidak berubah dari segi perangai dan perwatakan suka menyerang seolah-olah masih lagi mendudukui kerusi berkenaan.

“Tun Mahathir sapu keliling. Watak tidak berubah seolah-olah masih berkuasa. Terbaru, Tun kutuk Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam isu tuhan mencarut,” kata Idris Ahmad.

Beliau berkata isu itu masih dimainkan Mahathir walaupun isu terbabit sudah dijelaskan oleh bekas Menteri Besar itu sewaktu beliau hidup.

“Persoalannya ke mana hulu balang Pan menyepi. Apakah tidak ada perasaan langsung untuk membantah Tun Mahathir mengutuk Almarhum di hadapan mereka? Apakah mereka sudah hilang deria rasa apabila Tun membelasah almarhum. Sedangkan mereka mendakwa, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz ikon perjuangan mereka,” kata Idris yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Idris berkata, beliau  tidak  hairan apabila Pengerusi parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menghentam  Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Memang itulah perasaan mereka, kerana benci kepada Presiden PAS. Sama seperti Tun Mahathir marah kepada DS Anwar Ibrahim suatu ketika dahulu, apa sahaja yang berlaku semuanya salah DS Anwar,”’ ujarnya.

Namun, katanya, sekarang  apa-apa sahaja yang berlaku bertentangan dengan kehendak politik mereka.

Mahathir, tambahnya lagi,  istiqamah benci dengan PAS sehingga hujung hayat.

“Kenapa Tun benci sangat dengan PAS? Sebab Tun tidak boleh cucuk hidung pemimpin PAS. Tun Mahathir ingat pemimpin PAS seperti Kadir Jasin yang kenyang makan dedak zaman Tun. Sekarang berlagak tuduh pemimpin PAS makan dedak DS Najib,” jelasnya merujuk kepada bekas Ketua Pengarang The New Straits Times Press zaman pemerintahan Mahathir itu.

“Nasihat saya supaya Datuk Kadir Jasin ambil cermin suluh muka dulu, sebelum tuduh pemimpin PAS. Cuba periksa dulu harta dan kekayaan yang beliau miliki, adakah  ibu bapanya orang hartawan di Tokai, Kedah. Ataupun beliau  kaya hasil menjadi pengampu Tun Mahathir dan Umno. Sekarang baru belajar marah kepada Umno kerana dedak Umno tidak cukup,” katanya lagi.

Menurut Idris, Mahathir  marah kepada PAS kerana dasar Islam yang dibawa oleh PAS tidak boleh diterima oleh beliau.

“Beliau hendak suruh PAS ikut Islam tafsiran beliau. Kalau mufti pun, Tun lawan. Sunnah Nabi pun beliau perli, apalah sangat dengan PAS. Ingatan kepada Tun, PAS melawan Umno kerana dasar. PAS  lawan Umno, bukan kerana tidak dapat dedak,” tambahnya. – Sarawakvoice