Kerajaan Negeri perlu suntikan RM17b untuk bekalan menyeluruh air bersih di seluruh Sarawak – Rundi

KUCHING: Kerajaan Negeri memerlukan suntikan RM17 bilion untuk memastikan seluruh negeri Sarawak menikmati bekalan air bersih.

Menteri Elektrik Luar Bandar dan Bekalan Air, Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, suntikan itu diperlukan untuk mengimplimentasi pelbagai program bekalan air di seluruh negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dan 12.

“Ini termasuk sekitar RM10 bilion untuk melaksanakan bekalan air luar bandar di bawah projek Pembekalan Air Luar Bandar Alternatif Sarawak (Sawas) dan pelaksanaan projek di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

“Sebanyak RM7 bilion lagi diperlukan untuk menggantikan sistem saluran paip yang usang selain melaksanakan beberapa projek lain seperti menaik taraf loji rawatan air, pembangunan sumber air mentah, membina kolam takungan dan membangunkan sistem IT.

Katanya, beberapa kaedah telah dikenal pasti untuk mendapatkan sumber dana ini termasuk memohon kepada Unit Perancang Ekonomi, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

“Kita juga mungkin menjayakan kaedah nonkonvesional seperti mendapatkan pinjaman daripada Bank Pembangunan Sarawak yang diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sebelum ini,” katanya ketika membuat penggulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, semalam.

Ketika ini katanya, kadar liputan bekalan air di kawasan bandar hampir seratus peratus manakala liputan untuk kawasan luar bandar sekitar 61 peratus.

“Kerajaan sedang berusaha untuk menangani baki 39 peratus yang melibatkan sekitar 114 ribu isi rumah yang masih belum menikmati bekalan air terawat,” katanya lagi. – Sarawakvoice