Keadaannya, seolah-olah masih baru ditanam semalam! — bapa saudara Allahyarham Thaqif

SHAH ALAM: Masih ingat kisah Allahyarham pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, 10, yang meninggal dunia 26 April lepas.

Sinar Harian, 18 Mei melaporkan, jenazah Thaqif perlu digali semula oleh pihak hospital dengan kebenaran mahkamah serta bersaksikan polis bagi mencari punca sebenar kematiannya.

Menurut sumber, sampel yang diambil selepas kematian Thaqif sebelum ini tidak menemui apa-apa tanda yang menjadi punca kepada kematiannya.

Untuk berkongsi cerita dijadikan sebagai peringatan, Mas Arip bapa saudara kerpada Allahyarham Thaqif menceritakan kepada Mingguan Wanita bahawa melalui penggalian tersebut, didapati jenazah Thaqif masih elok dan tidak berbau semasa digali pada pagi Khamis.

Menurut Mas Arip, beliau bersama bapa mentuanya, Ahmad Motai menjadi saksi bagi pihak keluarga menyaksikan kubur anak saudaranya itu digali semula.

Menurutnya kaki yang dipotong dan tubuh Allahyarham tidak mereput walaupun sudah lebih sebulan jenazahnya disemadikan.

“Keadaannya, seolah-olah masih baru ditanam semalam!” kata Mas Arip memetik Sinar Harian.

Beliau menambah, pihak forensik yang mengambil sampel dari kaki yang dipotong turut mengagumi keadaan jenazah yang tidak mereput.

“Betul-betul menginsafkan saya. Masya-Allah. Allah maha berkuasa,” ungkap Mas Arip.

Kisah penuntut Madrasah Tahfiz al-Jauhar, Kota Tinggi, Johor, Allahyarham Thaqif yang bercita-cita menjadi hufaz dan mahu membawa ayah dan ibunya ke syurga, menjadi viral selepas dia sakit dan didakwa dipukul warden.

Meskipun pembantu warden berkenaan dibebaskan tanpa dilepaskan kerana kurang bukti, kes Allahyarham Thaqif masih dalam siasatan polis. – Sarawakvoice