Fatimah wujud formula tangani lelaki menipu bujang sebelum berkahwin

KUCHING: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Fatimah Abdullah berkata, pihaknya memandang serius kes-kes penipuan status dalam pendaftaran perkahwinan monogami dalam kalangan orang bukan Islam.

Menurutnya, dalam tempoh Januari hingga April lalu sahaja, seramai 167 individu telah dapat dikesan memohon pendaftaran perkahwinan sivil walaupun masih dalam ikatan perkahwinan secara adat.

“Sehubungan itu, kita telah meminta Jabatan Pendaftaran Negara, Negeri Sarawak mengadakan kerjasama strategik dengan Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) untuk mendapatkan akses kepada Native Marriage Electronic System (NAMES).

“Melalui kerjasama ini, kita dapat merujuk akan kepatuhan kepada Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Akta 164) 1976, Bahagian II, Seksyen 5(1); dan Native Custom (Declaration) Ordinance, 1996; Majlis Adat Istiadat Sarawak Ordinance, 1977; Native Court Ordinance, 1992; dan Native Court Rules, 1993; Laws of Sarawak (Chapter 55)  Native Customary Marriages (Maintenance) Ordinance, 2003, berkaitan perkahwinan monogami yang dilaksanakan.

“Dengan adanya kerjasama strategik ini maka perkahwinan yang boleh menganiaya kaum wanita atau waris dapat dielakkan,” katanya ketika melakukan ucapan penggulungan kementeriannya semalam.

Fatimah turut menyentuh peningkatan statistik kes keganasan rumah tangga yang telah dilaporkan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Berbanding 358 kes pada tahun 2014 dan 279 kes pada tahun 2015, tahun lalu, sebanyak 427 kes direkodkan.

“Malah sehingga April lalu, sebanyak 165 kes dilaporkan.

Katanya, prihatin akan situasi ini, kementerian telah mewujudkan satu prosedur operasi standard (SOP) bersepadu antara agensi berkepentingan.

“SOP yang diterima pakai oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS), One Stop Crisis Centre (OSCC) Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, dan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) ini dibangunkan bagi tujuan menyeragamkan urus tadbir kes-kes keganasan rumah tangga di Sarawak.

“Ia bertujuan memastikan kebajikan mangsa keganasan terjaga dan mendapat pembelaan secara cepat, cekap, dan tepat (CCT),” katanya lagi. – Sarawakvoice