Empat lelaki dari Kota Samarahan dicekup kurang 48 jam selepas lakukan samun dan serangan bersenjata

KUCHING: Polis Kuching membuktikan kecekapan mereka apabila berjaya menahan empat lelaki, sekali gus menyelesaikan kes samun dan kes serangan bersenjata yang berlaku 48 jam sebelum itu.

Kes pertama membabitkan seorang wanita Melayu berusia 21 tahun yang disamun ketika pulang dari kerja pada jam 8.15 malam Selasa lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai, insiden berlaku ketika mangsa sedang menunggu bapanya di kaki lima, tingkat bawah megamal Viva City, dekat sini.

“Ketika kejadian, mangsa didatangi suspek, seorang lelaki Melayu yang keluar dari sebuah kenderaan Produa Viva sebelum bertindak merampas telefon bimbitnya dan melarikan diri.

“Mangsa dilaporkan kerugian RM390,” katanya.

Kata Abang Ahmad, hasil risikan dan pengumpulan maklumat, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuching telah melakukan serbuan ke sebuah rumah di Taman Samarindah, Kota Samarahan, pada sekitar jam 7.15 pagi tadi.

“Serbuan tersebut berjaya memberkas seorang lelaki Melayu berumur 25 tahun, dan merampas sebuah kereta Perodua Viva, yang dipercayai digunakan dalam kes samun.

“Susulan kejayaan itu, polis kemudian melancarkan tiga lagi serbuan; kali ini di tiga buah premis di sekitar Kampung Merdang Lumut dan Taman Samarindah.

Katanya, tiga lagi lelaki Melayu berumur dalam lingkungan 18 ke 23 tahun berjaya ditumpaskan.

“Hasil siasatan awal, kesemua suspek mengaku terlibat dalam kes samun berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, kata Abang Ahmad, kesemua suspek juga mengaku terlibat dalam satu kes yang mendatangkan kecederaan dengan senjata tajam pada awal pagi sebelum itu.

“Kejadian berlaku pada jam 3.15 pagi di Taman Samarindah apabila seorang lelaki yang dikenali sebagai Mangos, telah ditikam di bahagian belakang dengan menggunakan pisau.

“Mangsa kini dalam keadaan stabil dan masih dirawat di zon merah Hospital Umum Sarawak.

Ketika ditangkap, kata Abang Ahmad, kesemua suspek dalam keadaan khayal.

“Mereka akan menjalani perintah tahanan reman esok bagi membantu siasatan selanjutnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan kecederaan yang boleh menyebabkan kematian dan juga jenayah rompak. – Sarawakvoice