Eksport kayu balak Sarawak sumbang RM1.42b pada tiga bulan pertama 2017

KUCHING: Sarawak terus menguasai segmen eksport kayu balak di negara ini apabila mencatatkan jualan bernilai RM1.42 bilion bagi industri yang berkaitan perkayuan sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, daripada jumlah itu, Jepun muncul sebagai pengimport utama dengan nilai import RM592 juta atau 42 peratus daripada keseluruhan segmen.

“Ini diikuti India dengan nilai RM213 juta (15 peratus), Korea Selatan RM146 juta (10 peratus) dan negara-negara Timur Tengah RM112 juta (8 peratus),” katanya ketika menyampaikan aluan sempena Ekspo Perkayuan dan IKS Sarawak ke-3 di Pusat Konvensyen Borneo pagi semalam.

Menurutnya, papan lapis, kayu balak, kayu bergergaji dan kayu gentian merupakan antara produk utama yang menjadi pilihan pengimport.

“Pada masa yang sama, industri perabot kayu turut mencatatkan peningkatan sebanyak 5 peratus kepada RM11.16 juta pada suku pertama 2017, berbanding RM10.66 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Kerajaan katanya, kini sedang memberi tumpuan kepada produk-produk yang bukan bersumberkan hutan asli, sebaliknya hutan tanam seperti acacia, buluh, pokok palma dan lain-lain lagi.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dalam ucapan perasmiannya menegaskan, kerajaan kini melihat secara serius produk-produk hutan perindustrian seperti acacia dan buluh sebagai produk penting negeri.

“Permintaan buluh di peringkat global kini semakin meningkat dan secara kebetulan, produk-produk ini amat sesuai ditanam di negeri ini,” jelasnya lagi.

Pada masa yang sama, Abang Johari terus menegaskan tumpuan Sarawak kini adalah untuk merealisasikan hutan industri atau hutan tanam, dengan sasaran 1 juta hektar setahun.

“Amat mengecewakan ia masih kurang mendapat sambutan pihak swasta, biarpun telah dicadangkan sejak 30 tahun lalu.

“Justeru saya ingin memberi amaran kepada para pemegang lesen dan pemilik konsesi ini, agar mengambil serius penanaman hutan industri, selain menyemarakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan jika mahu industri ini terus kekal.

Ini kerana pada masa depan, eksport balak kita hanya dibenarkan daripada hutan-hutan sekunder, bukan lagi daripada hutan primer, atau asli, tambahnya.

“Alam sekitar perlu didahulukan jika mahu industri ini kekal bersaing,” tegasnya lagi. – Sarawakvoice