Dr Sim bimbang peningkatan jumlah kes kencing manis, denggi dan tuberculosis

KUCHING: Gaya hidup tidak sihat dengan mengamalkan pemakanan tidak sihat, kurang bersenam dan tabiat merokok menjadi punca meningkatnya sakit berkaitan jantung, tekanan melampau dan kencing manis di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian memberitahu, seramai  131,213 individu telah direkodkan menghidap penyakit kencing manis di negeri ini sehingga 31 Disember lalu.

“Malah dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, sebanyak 4,970 pesakit baharu direkodkan, membayangkan betapa seriusnya penyakit ini dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri, semalam.

Sehubungan itu, katanya kempen gaya hidup sihat termasuk Komuniti Sihat Perkasa Negara (Kospen) harus disemarakkan di semua peringkat bagi menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk bersenam dan mengawal nafsu makan.

Dr Sim turut membayangkan kebimbangannya terhadap peningkatan kes denggi yang dicatatkan di negeri ini pada tahun lalu.

“Sebanyak 2, 773 kes denggi dicatatkan pada 2016, meningkat 30.6 peratus berbanding 1,923 kes pada tahun lalu.

“Sibu terus mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak 32 peratus, daripada 994 kes pada 2015 kepada 1,463 kes pada tahun lalu.

“Ini diikuti oleh Kuching yang mencatatkan 207 kes berbanding 206 kes pada tahun sebelumnya,” katanya.

Dr Sim turut melaungkan amaran terhadap peningkatan penyakit tuberculosis atau batuk kering.

“Sebanyak 2,857 kes dilaporkan sepanjang tahun lalu, berbanding 2,575 kes pada tahun sebelumnya, yakni peningkatan sebanyak 9.8 peratus.

Katanya, sebanyak 939 kes tuberculosis telah direkodkan di seluruh negeri sepanjang empat bulan pertama tahun ini.

“Kita berusaha mengesan sebanyak mungkin kes melalui saringan sistematik.

“Pada tahun lalu, sebanyak 6,762 individu telah diperiksa oleh pasukan x-ray bergerak di 72 lokasi luar bandar di seluruh negeri; 48 kes telah disahkan ada jangkitan manakala 32 lagi masih menunggu keputusan pemeriksaan,” katanya. – Sarawakvoice