1,500 PKS terpilih, tersenarai dalam AliBaba.com hujung 2017

KUALA TERENGGANU: Bermula 1 Oktober ini, sebanyak 1,500 Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dari pelbagai jenis produk di seluruh negara dipilih untuk disenaraikan dalam platform e-dagang global, AliBaba.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata proses pemilihan dilakukan oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp), Malaysia Digital Economy Corporation (MDeC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Bercakap selepas melancarkan Minggu PKS 2017 Peringkat Kebangsaan 4-26 Mei pada Khamis anjuran SME Corp, bertemakan “Mula Berdikit, Azam Melangit”, Mustapa berkata penyenaraian dalam AliBaba.com menggunakan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) sebagai platform pemasaran.

Mustapa turut melancarkan Hab PKS Bergerak yang berfungsi sebagai pusat sehenti untuk memudahkan rakyat berurusan dengan SME Corp.

“AliBaba akan menjadi pemangkin cukup penting untuk melonjakkan pencapaian PKS negara dalam usaha menembusi pasaran luar,” ujar Mustapa memetik laporan Bernama pada Jumaat.

Bagi memperkasa PKS, kerajaan menurut Mustapa merangka akta yang bakal dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.

Akta berkenaan dipercayai mampu membangunkan PKS termasuk kemas kini pengumpulan data. – Sarawakvoice