Yayasan Telekom Malaysia beri biasiswa kepada 21 pelajar Sarawak

KABONG: Yayasan Telekom Malaysia (YTM) menawarkan tajaan biasiswa kepada 21 orang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)di Sarawak bagi melanjutkan pengajian ke Universiti Multimedia Melaka (MMU).

Penyerahan surat tawaran penajaan penuh daripada Yayasan Telekom Malaysia (YTM) diserahkan kepada kesemua permohon yang berjaya bermula Isnin lalu.

Penyerahan tersebut dilakukan sendiri oleh beberapa orang wakil YTM yang datang dan menyerahkan surat tawaran tajaan ke tangan pemohon yang berjaya di rumah pelajar terlibat.

Jurucakap YTM, Mohamad Zaidell Abdullah, yang ditemui sewaktu penyerahan surat tawaran biasiswa tersebut di sini hari ini memberitahu sebanyak lebih daripada 10,000 permohonan telah diterima dari seluruh Malaysia bagi tujuan mendapat penajaan berkenaan.

Bagaimanapun jelasnya hanya seramai 215 pemohon seluruh negara telah berjaya dan ditawarkan untuk mendapat pembiayaan belajar daripada YTM untuk kemasukan ke universiti tahun ini.

“Untuk Sarawak begitu ramai yang memohon namun pihak panel penilai hanya dapat memilih sebahagian kecil pemohon yang benar-benar layak dan lulus temuduga yang pihak kita jalankan.

“Di Sabah YTM menawarkan tajaan untuk seramai 23 pemohon manakala selebihnya seramai 171 lagi untuk pelajar di Semenanjung Malaysia,” ujarnya.

Menurut Zaidell, kesemua penerima tajaan biasiswa YTM akan dijemput bagi menghadiri program induksi bermula pada 22 hingga 26 Mei yang akan diadakan di Pahang.

Kesemua pelajar terlibat akan memulakan sesi pengajian sebenar di universiti pada Julai iaitu selepas Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. – Sarawakvoice