Tiga lelaki dicekup di Stutong kerana miliki syabu dan Eramin 5

KUCHING: Polis Kuching semalam menahan tiga lelaki kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, kesemua suspek ditangkap sekitar jam 1200 tengah hari semalam, setelah maklumat yang diterima disahkan.

“Mereka dijerut sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah dalam serbuan di sebuah rumah di Lorong 9, Stutong dekat sini.

Kata Abang Ahmad, suspek merupakan lelaki berbangsa Iban, Melayu dan Cina yang berumur dalam lingkungan umur 31 ke 44 tahun.

“Kesemua mereka berasal dari Skim Penempatan Semula Stutong Baru, di BDC.

“Turut dirampas bersama-sama mereka ialah dadah jenis syabu seberat 6.17 gram yang bernilai RM1110.60 dan dua biji pil Eramin 5 yang berharga RM40.00 .

Hasil ujian saringan awal katanya, kesemua suspek didapati positif Methamphetamine.

Kes masih dalam siasatan, yang dilakukan di bawah Seksyen 39A[1], Seksyen 12[2] dan Seksyen 15[1][a] Akta Dadah Berbahaya 1952. – Sarawakvoice