TI-M mahu pelaku rasuah dipenjara lebih lama

SHAH ALAM: Transparency International Malaysia (TI-M) mencadangkan supaya hukuman penjara minimum sehari kepada pelaku rasuah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dikaji semula bagi membolehkan jenayah itu ditangani dengan lebih berkesan.

Presidennya, Datuk Akhbar Satar berkata adalah sesuai jika kerajaan memperkenal semula peruntukan hukuman penjara minimum 14 hari yang diguna pakai dalam Akta Pencegahan Rasuah 1997 sebelum ini.

“Kami mahu supaya pelaku rasuah dipenjarakan lebih lama,” katanya kepada pemberita selepas menjadi anggota panel program Wacana Sinar Harian Siri Ke-46 “Rasuah & Penyelewengan: Di Mana Maruah Kita?” di Shah Alam semalam.

Akta Pencegahan Rasuah 1997 sebelum ini antara lain memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Akta SPRM 2009 yang menggantikan Akta Pencegahan Rasuah 1997 pula antara lain memperuntukkan hukuman penjara minimum sehari dan maksimum 20 tahun serta mengekalkan hukuman denda sama.

Sementara itu, Timbalan Mufti Negeri Sembilan Nor Azamir Alias dalam wacana itu berkata rakyat di negara ini perlu diberi didikan kerohanian dalam usaha pencegahan rasuah atau kesalahan lain.

“Penyelewengan ini dianggap sebagai khianat dan berdosa besar. Rasuah adalah sesuatu yang mampu menjejaskan maruah (pelakunya),” katanya. Bernama