Skim penipuan: 25 warga China, Taiwan ditahan dalam satu serbuan

SHAH ALAM: Seramai 25 warga China dan Taiwan ditahan dipercayai terlibat dengan aktiviti penipuan ‘Macau Scam’ dalam satu operasi di Shah Alam, Selangor yang bermula pada 3.30 petang semalam.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dalam serbuan itu, sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dengan kerjasama Polis Taiwan menahan 13 lelaki dan tujuh wanita China serta empat lelaki dan seorang wanita warga Taiwan yang kesemuanya berusia antara 20 dan 30 tahun.

Menjelaskan modus operandi kumpulan itu, Acryl berkata suspek akan membuat panggilan telefon dan menyamar sebagai pegawai syarikat telekomunikasi di Taiwan.

“Suspek kemudiannya mendakwa mangsa mempunyai hutang internet yang besar sebelum diminta menyelesaikannya dengan kadar segera dengan cara pemindahan wang ke dalam akaun bank yang telah ditetapkan di Taiwan,” katanya dalam satu kenyataan.

​​​Acryl dalam satu kenyataan berkata, sindiket terbabit menjadikan negara ini sebagai pusat operasi bagi menjalankan aktiviti penipuan terhadap rakyat Taiwan dan setakat ini tiada rakyat tempatan dilapor menjadi mangsa kumpulan itu.

“Serbuan dilakukan di sebuah rumah banglo yang dijadikan markas bagi kegiatan itu. Turut dirampas adalah sebuah kenderaan jenis Toyota Velfire, 10 passport China, 5 passport Taiwan, peralatan komunikasi serta skrip yang dipercayai digunakan bagi tujuan penipuan terbabit,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Shah Alam untuk siasatan lanjut.

Acryl berkata sehingga empat bulan pertama tahun ini, sebanyak 270 kertas siasatan telah dibuka berhubung kes penipuan Macau Scam yang melibatkan kerugian sebanyak RM 9.49 juta. – Sarawakvoice