PKR arah letak jawatan lantikan di Kelantan, bagaimana dengan Pas di Selangor?

Keputusan Majlis Syura Ulama Pas pada awal Mei lepas memutuskan tahaluf siyasi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti didesak oleh perwakilan Muktamar di Kedah, bukan perkara kecil dan mudah diremehkan.

Lebih jauh lagi, keputusan menamatkan kerjasama politik itu juga menyaksikan Pas tidak mustahil berdepan dengan PKR dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang apabila mereka mengumumkan bertanding di beberapa kerusi PKR dalam perlawanan tiga penjuru.

Bukan sahaja kecoh pelbagai pihak membincangkan kedudukan Pas di Selangor, apabila putusnya tahaluf siyasi tersebut, bahkan hubungan PKR-Pas turut terkesan di Kelantan.

Bekas Senator PKR, Saiful Izham Ramli, menggesa PKR agar mengarahkan semua anggotanya yang mendapat lantikan politik di Kelantan  meletak jawatan.

Saiful yang juga peguam itu berkata, kalau nak melihat Pas mengarahkan pemimpin mereka yang mendapat lantikan politik di Selangor meletakkan jawatan, PKR kena mulakan dahulu langkah mereka di Kelantan.

Menurut bekas anggota Majlis Pimpinan Tinggi PKR itu, tanpa jawatan pun mereka masih tetap boleh bersama-sama mengajak rakyat berubah.

Sehari selepas cabaran Saiful, Biro Politik PKR pula bertindak balas terhadap tindakan Pas memutuskan tahaluf siyasi antara mereka.

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail membaca kenyataan ketetapan biro politik yang menggesa agar semua lantikan politik PKR dalam kerajaan negeri Kelantan dilepaskan berkuat kuasa serta-merta.

Perkara tersebut turut disampaikan PKR kepada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kelantan.

Selain itu, menurut Wan Azizah, kedudukan Pas dalam kerajaan negeri Selangor  diputuskan pimpinan PKR selepas Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali pulang dari lawatan rasmi ke luar negara.

Menurut Wan Azizah yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh meskipun PKR menerima keputusan Pas membatalkan kerjasama politik dengan PKR, namun PKR menolak alasan yang diberikan Pas menjustifikasi putusnya tahaluf siyasi tersebut.

Wan Azizah berkata bahawa PKR menolak alasan yang mereka berikan. Walaupun PKR berusaha menjaga dan melunakkan hubungan di antara kedua-dua parti.

Majlis Syura Ulama Pas pada awal Mei lalu membuat keputusan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR selepas mendakwa begitu banyak pelanggaran syarat tahaluf siyasi yang dilakukan oleh PKR.

Dalam perkembangan mutakhir, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata Pas tidak menjangkakan Biro Politik PKR membuat keputusan drastik dengan mengarahkan semua lantikan politik dari parti itu dalam kerajaan negeri Kelantan melepaskan jawatan serta-merta.

Menurut Mohd Amar, keputusan untuk kekal adalah lebih baik, meskipun parti itu tidak menghalang jika mereka mahu melepaskan jawatan masing-masing.

Mohd Amar berkata pihaknya mengalu-alukan mana-mana ahli PKR yang mahu kekal dengan lantikan itu supaya dapat bersama-sama memberi khidmat kepada rakyat.

Menurut Mohd Amar, keputusan itu adalah tindakan drastik pucuk kepemimpinan PKR, memandangkan pihaknya menjangkakan ketika ini adalah tempoh bertenang susulan isu hubungan kedua-dua parti terbabit.

Biasanya begitulah “silat” politik.

Pukulan, tendangan dan elakan berlaku dalam cabar-mencabar.

Apabila Pas membuat keputusan, mereka perlu bersedia menerima banyak kemungkinan.

Selepas PKR bertindak di Kelantan, adakah ia juga memberi mesej yang sama bagaimana sepatutnya Pas bertindak di Selangor? – Sarawakvoice