Pertandingan tiga penjuru sukarkan pembangkang dalam PRU-14

KUALA LUMPUR: Pertandingan tiga penjuru bukan baharu bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN),  sebaliknya akan menyukarkan pihak pembangkang, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras.

Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, UMNO tidak pernah gentar berdepan dengan mana-mana parti pembangkang termasuk Pas jika berlaku pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Tidak ada masalah bagi UMNO dan BN, kita biasa berdepan dengan situasi sedemikian dan tetap memperolehi kemenangan,” ujarnya dalam entri terbaharu di umnobahagiancheras.blogspot.com.

Katanya, UMNO sememangnya sudah bersedia untuk berdepan dengan perkembangan tersebut dan menjangkakan akan memperoleh kemenangan yang lebih besar.

Syed Ali  yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan menyangkal tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa BN terutama UMNO berdepan laluan sukar pada PRU akan datang jika berlaku pertembungan tiga penjuru. – Sarawakvoice