Percepatkan geran tanah NCR, lantik ketua masyarakat Iban Serian

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Martin Ben menggesa Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) mempercepat pengeluaran geran tanah kepada peserta program pembangunan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang menyertai tanaman sawit dengan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra).

Program sawit berkenaan bermula awal 1990-an di Serian melibatkan 7,000 peserta dengan keluasan tanah sekitar 11,000 hektar.

Martin berkata setakat ini kurang setengah daripada peserta mendapat geran tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri walaupun semua kawasan sudah di sukat pihak Salcra.

Bercakap pada Perbahasan Usul Penghargaan Atas Ucapan Yang Dipertua Negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu, Martin turut meminta Kerajaan Negeri mewujudkan lebih banyak jawatan ketua masyarakat termasuk temenggong dan pemanca bagi masyarakat Iban di Serian.

Beliau berkata lantikan itu perlu memandangkan penghulu sedia ada dibebani mentadbir hampir 60 kampung.

Menurut Martin pelantikan itu penting demi memainkan peranan sebagai ketua masyarakat yang menghubungkan penduduk kampung dengan pegawai kerajaan atau wakil rakyat, selain bertindak sebagai mata dan telinga kerajaan. – Sarawakvoice