Pas: Terpulang kepada ahli PKR, mahu lepaskan jawatan atau tidak di Kelantan

KOTA BHARU:  Terpulanglah kepada sekitar 200 ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri  sama ada untuk kekal sebagai pimpinan lantikan politik atau melepaskannya di negeri ini.

Demikianlah keputusan Kerajaan Pas Kelantan di sebalik arahan  Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail kelmarin yang mengarahkan semua lantikan politik anggota partinya melepaskan jawatan masing-masing berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri tidak boleh menghalang mereka berbuat demikian.

“Bagaimanapun kalau ingin kekal dengan jawatan itu lagi baik dan kami mengalu-alukannya,” ujarnya, sambil menambah, kalau mengambil keputusan untuk berundur lebih baik sekurang-kurangnya hingga tahun ini atau sehingga PRU-14.

Malah, beliau berpendapat  tidak ada sebarang keperluan untuk mengarahkan ahli-ahli PKR melepaskan jawatan mereka ketika ini.

Amar yang juga Naib Presiden Pas berkata, isu berkaitan turut dibincangkan pada mesyuarat exco yang berlangsung di Kota Darulnaim di sini semalam, sambil mengakui bahawa kerajaan negeri tidak terjejas sekiranya mereka melepaskan jawatan itu.

Namun, ujar beliau, mereka tidak boleh berkhidmat lagi pada rakyat di peringkat kerajaan.

Amar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, selepas mesyuarat exco di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

“Saya tak pasti kenapa kenyataan itu dibuat, tetapi itu hak dia dan saya tidak boleh komen apa-apa,” katanya lagi. – Sarawakvoice