Nelayan asing ditangkap tawar wang tunai elak ditangkap – Maritim Malaysia

KUCHING: Bukan sekadar menceroboh dan mencuri ikan di perairan Malaysia, tekong tiga buah bot nelayan dari Vietnam bertindak lebih agresif dengan menawarkan habuan tunai kepada sebuah kapal peronda Maritim Malaysia untuk tidak memgambil tindakan terhadap mereka.

Pengarah Daerah Maritim Daerah Kuching, Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, ketika kejadian, kapal Maritim Malaysia tersebut sedang dalam operasi rondaan rutin, sebelum menahan tiga buah bot nelayan asing yang menjalankan aktiviti menangkap ikan secara haram.

“Kejadian berlaku dalam perairan Sarawak, berkedudukan kira-kira 90 batu nautika Utara dari Tanjung Po,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ketiga-tiga buah bot nelayan tersebut katanya, telah dikesan dan diperiksa pada awal pagi 16 Mei lalu.

“Semasa diperiksa, tekong ketiga-tiga bot telah cuba untuk merasuah pegawai Maritim yang sedang melakukan pemeriksaan.

“Mereka telah menyerahkan wang sebanyak RM1000 oleh bot pertama, RM2000 oleh bot kedua dan RM1000 oleh bot ketiga.

Sogokan ini katanya, bertujuan mengelakkan tindakan ke atas mereka yang jelas telah melanggar Akta Perikanan 1985.

“Seramai 40 awak-awak bersama -sama tekong dipercayai warga negara Vietnam, berusia lingkungan 17 hingga 60 tahun telah diperiksa dan ditahan.

“Kes tersebut disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 untuk kesalahan menangkap ikan dalam perairan Malaysia tanpa lesen dan permit yang sah.

“Mereka juga disiasat bagi kesalahan cubaan merasuah dan kes akan disiasat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Tangkapan ini kata Mac Queen, dalah hasil maklumat yang disalurkan oleh komuniti maritim yang berada di laut.

“Kerjasama di antara Maritim Malaysia dan komuniti maritim yang akrab amat penting bagi memastikan hasil laut negara tidak dikaut dan dibawa keluar oleh nelayan asing,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice