Namakan semula lapangan terbang Kuching sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Adenan Satem, Dewan diberitahu

KUCHING: Seorang penyokong kerajaan mencadangkan supaya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dinamakan semula sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Adenan Satem Kuching.

Ketika membuat cadangan itu, Datuk Idris Buang yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Muara Tuang berkata ini bagi menghargai sumbangan allahyarham yang amat besar dan tidak terkira kepada Sarawak dan rakyat negeri ini.

Semasa membahaskan usul ucapan terima kasih atas ucapan Yang Dipertua Negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-18′ di sini semalam, beliau berkata dengan berbuat demikian, ini bermakna kita menghargai pemimpin yang menunjukkan contoh terbaik seperti  Adenan Satem atau lebih  dikenali dengan panggilan Tok Nan.

‘Kita harus memberitahu penduduk dunia bahawa kita menyanjung dan menghormagti pemimpin ulung yang berkhidmat dengan menunjukkan teladan yang baik melalui sifat menyayangi, belas kasihan dan dedikasi,” kata beliau.

Beliau berkata Tok Nan telah menunjukkan kepada rakyat bagaimana untuk hidup dengan saling toleransi  dan menghormati di negara yang mempunyai penduduk terdiri daripada pelbagai budaya dan kepercayaan agama.

Beliau juga telah menunjukkan kepada rakyat Sarawak sifat-sifat dan ciri-ciri seorang pemimpin yang sebenarnya, kata beliau.

‘Cukup untuk saya menyatakan bahawa saya bersama saudara-saudara dan saudari dalam dewan ini melahirkan penghargaan atas khidmatnya kepada negeri ini.

Adenan, ketua menteri kelima, meninggal dunia pada 11 Januari tahun ini akibat komplikasi  jantung di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di Kuching ketika berusia 72 tahun.

Adenan yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Datu dilantik menjadi ketua menteri pada 28 Feb, 2014. Bernama