Kami mahu peruntukan sama rata dengan wakil rakyat BN — Baru Bian

KUCHING: Adun Ba’kelalan semalam menuntut agar wakil-wakil rakyat bukan kerajaan turut menerima agihan peruntukan yang sama rata yang diterima oleh Adun Barisan Nasional.

Baru Bian berkata, dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan prinsip keadilan, amalan kuno dengan peruntukan hanya dinikmati pihak kerajaan sahaja perlu dihakis.

“Dalam pelbagai wacana sebelum ini dicanangkan bahawa Adun-Adun BN telah menikmati pelbagai peruntukan seperti peruntukan Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan biaya RM5 juta setahun, peruntukan ‘Projek Mesra Rakyat’ Persekutuan dan dana projek kecil luar bandar.

“Peruntukan-peruntukan ini tidak tersedia untuk wakil rakyat bukan BN,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu katanya, beliau memohon kerajaan agar bersikap lebih terbuka, dan tidak membuli serta menghukum rakyat kerana melaksanakan hak demokrasi mereka sebelum ini.

“Mereka hanya mengundi untuk wakil-wakil pilihan mereka.

Tegas Baru Bian lagi, harus diingat, dana yang dinikmati wakil rakyat BN tersebut datangnya daripada rakyat dalam bentuk cukai pendapatan, cukai jalan, cukai hartanah, GST dan sebagainya.

“Justeru setiap rakyat mempunyai hak yang sama untuk menikmati faedah daripada sumbangan cukai mereka.

“Jika hak mereka terus dinafikan, mereka boleh memilih untuk tidak membayar apa jua bentuk cukai?

Tegasnya, pelantikan portfolio yang baharu — Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Hisbah) harus dilihat sebagai hasrat kerajaan untuk menonjolkan dirinya sebagai menghargai integriti.

“Salah satu ciri-ciri utama kerajaan yang berintegriti ialah semua rakyat dilayan sama rata, dan tidak didiskriminasi untuk kecenderungan politik mereka.

Oleh itu, katanya, peruntukan juga perlu disediakan kepada wakil pembangkang, yang mempunyai tugas-tugas yang sama kepada pengundi di kawasan mereka, seperti juga wakil-wakil BN.

“Jika tidak, tindakan diskriminasi yang diamalkan kerajaan ini hanya akan dilihat sebagai satu penghinaan kepada pejabat Menteri Integriti dan Hisbah yang baharu diwujudkan ini,” jelasnya. – Sarawakvoice