Empat bot nelayan Vietnam menyamar nelayan tempatan dicekup Maritim Malaysia

KUCHING: Penipuan empat bot nelayan asing yang menyamar sebagai nelayan tempatan berdaftar terbongkar apabila taktik itu berjaya dikesan dan dipatahkan pasukan penguatkuasaan Maritim Malaysia, Ahad lalu.

Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak, Ismaili Bujang Pit berkata, kapal-kapal itu ditahan oleh sebuah kapal Maritim Malaysia DM11 yang sedang dalam operasi rondaan rutin.

“Keempat-empat bot nelayan asing tersebut dikesan dan diperiksa ketika sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan secara haram di kedudukan kira-kira 85 batu nautika dari Tanjung Sirik, sekitar jam 5.30 petang.

“Setelah diperiksa, bot-bot tersebut sebenarnya milik nelayan asing dan cuba menyamar sebagai bot nelayan berdaftar di negeri ini.

Katanya, seramai 30 awak-awak dan tekong dipercayai warga Vietnam berusia lingkungan 17 hingga 50 tahun telah diperiksa dan ditahan.

“Kes ini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan jika sabit kesalahan, kesemua bot tersebut akan disita manakala tekong serta awak-awak dikenakan denda masing-masing tidak melebihi RM1 juta setiap seorang.

Jelas Ismaili lagi, tangkapan ini dilakukan hasil maklumat komuniti maritim yang berada di laut.

“Kerjasama antara Maritim Malaysia dan komuniti maritim amat penting bagi memastikan hasil laut negara tidak dikaut dan dibawa keluar oleh nelayan asing,” katanya lagi. – Sarawakvoice