Chong dengan istilah “hot air”nya kecohkan DUN

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg pernah menyangkal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Chong Chieng Jen dari Dap yang terkenal dengan ungkapan “hot air”nya, bahawa perancangan Kerajaan Negeri membangunkan Sarawak bukan sebuah angan-angan.

Chong sebelum ini mengatakan inisiatif yang diumumkan Abang Johari untuk dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang hanya seumpama “angan-angan kosong”.

Abang Johari pernah berkata semua perancangan yang beliau perkatakan di Sarawak sepanjang tempoh 100 hari beliau memimpin — LRT, ekonomi digital, pengambilan hidroelektrik Bakun, Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) dan sebagainya — akan berlangsung dan sebahagiannya sudah pun bermula.

Ia bukan angan-angan tidak berpijak di bumi nyata atau “hot air” sebagaimana disuarakan Chong.

Logikya juga, baru 100 hari, bagaimana semuanya dapat disiapkan dalam enam bulan, melainkan ia sebuah perancangan dan idealisme sebuah kerajaan untuk rakyatnya?

Dalam hal ini, Chong pula yang benar-benar kelihatan sesuai dengan ungkapan “hot air”nya itu!

Bercakap sesuatu isu seumpama hot air kemudian membangkangnya atas nama politik!

Melalui kenyataan medianya hujung April lepas Chong turut pernah menyeru Abang Johari agar berpijak di bumi nyata dan berhenti meniup “hot air” berkaitan LRT Kuching-Serian serta perancangan bas elektrik Sarawak.

Penuh sinikal Chong berkata, hal tersebut seumpama membina istana di langit sambil menempelak inisiatif LRT yang menurutnya memakan kos yang tinggi.

Bahkan, Chong pernah menuduh Ketua Menteri sebagai jahil berkaitan kesan sebenar tindakan menghapuskan dasar kabotaj, terutama kepada industri perkapalan.

Chong mendakwa banyak pekerja dijangka hilang pekerjaan dalam tempoh enam bulan susulan langkah tersebut yang berkuasa kuasa 1 Jun.

Malah, menurut Ahli Parlimen Bandar Kuching itu, langkah berkenaan dijangka tidak mampu membantu mengurangkan harga barangan import seperti jangkaan ramai.

Andaian seumpama hot air lebih kepada politik retorik yang dapat dilihat “berjiwa jengkel”, membantah yang baik, apatah lagi “memperbesar” yang jelas buruk!

Kini “Chong hot air” bersuara lagi dan galak menggunakan istilah hot air di DUN Sarawak Ke-18 pada Rabu sehingga menimbulkan “kekecohan” dengan beliau tidak mampu memperjelas maksud istilah hot air yang digunakannya.

Apabila Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol meminta beliau memberi penjelasan maksud hot air, Chong gagal menjelaskannya kepada sidang dewan.

Chong yang juga Pengerusi Dap Sarawak ketika diberi ruang membahaskan ucapan pembukaan persidangan oleh Yang di-Pertua Negeri gemar menggunakan istilah hot air pada ucapannya.

Chong dikatakan sinikal dengan memperli rancangan pembangunan kerajaan sebagai hot air.

ADUN Muara Tuang Datuk Idris Buang turut mengungkit penggunaan perkataan tersebut oleh Chong.

Idris memulangkan paku buah keras berkata adakah maksud hot air yang diungkap oleh Chong itu sebenarnya, sama seperti pelaksanaan Impian Dap Sarawak yang dapat dianggap sebagai hot air?

Chong bagaimanapun menganggap penggunaan perkataan hot air tidak merendahkan martabat, namun Timbalan Speaker DUN Datuk Gerawat Gala yang mengendalikan persidangan sesi DUN meminta Chong perlu menggunakan perkataan lain selain daripada hot air dalam perbahasannya.

Tidak merendahkan martabat? Jika begitu boleh disaran menggunakan Chong hot air menggambarkan orang yang mempunyai kata-kata “bersemangat panas”.

“Chong hot air” sekali lagi mengungkitkan berkaitan penawaran guru dari Semenanjung yang mengajar subjek Pendidikan Islam di Sarawak yang menurutnya membawa impak (negatif?) kepada generasi muda di Sarawak.

Hal ini menurutnya terdapat perbezaan dari segi sikap toleransi dan gaya hidup mereka di Semenanjung.

Hal ini pernah dilontarkan oleh “Chong hot air” pada pertengahan Mac lalu yang mendapat kritikan pelbagai pihak di negeri ini kerana sudah 50 tahun guru dari Semenanjung berbakti di Sarawak, tidak berlaku gejala yang dibayangkan oleh beliau. – Sarawakvoice