Bapa angkat cari Jessica Anak Francis Matu dari Baram

SRI AMAN: Seorang bapa angkat kepada seorang kanak-kanak perempuan yang dikenali sebagai Ameyra Amanda, 7 tahun, kini memohon ihsan orang ramai untuk membantu menjejak ibu kanak-kanak tersebut bagi menyelesaikan proses pembuatan dokumen di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Kehadiran ibu kanak-kanak itu juga perlu untuk membantu proses pendaftaran Ameyra Amanda sebagai anak angkat yang sah dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Adam Narawi, 51, berkata anak angkatnya itu diambil sebagai anak angkat sebaik dilahirkan atas kerelaan ibunya sendiri.

Katanya, ibu kandung kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Jessica Anak Francis Matu, 26, berasal dari Long Balau Baram, Miri telah menyerahkan anaknya itu sendiri kepada Adam (bapa angkat) kerana mengalami masalah keluarga.

“Bersimpati dengan nasib menimpanya, saya bersetuju untuk menjadikan Ameyra Amanda sebagai anak angkat.

“Saya menjaga Ameyra Amanda bagaikan anak kandung sendiri dan beliau juga turut dijaga oleh kakak saya yang kini berada Kampung Sebandi Matang Asajaya,” katanya yang kini bertugas di Jabatan Pertanian Bahagian Sri Aman.

Katanya, kali terakhir ibu kandung Ameyra Amanda dapat dihubungi ialah sekitar empat tahun lalu sewaktu dia melawat anak kandungnya itu di Kampung Sebandi Matang Asajaya.

Menurut Adam, anak angkatnya itu kini tidak dapat bersekolah kerana masalah tiada dokumen sah yang membolehkannya didaftar untuk bersekolah. Dan masalah itu hanya akan dapat diselesaikan dengan kehadiran ibu kandungnya.

“Saya mahukan anak saya ini seperti anak-anak lain berpeluang untuk bersekolah,” jelas Adam.

Menurutnya, borang permohonan anak angkat tidak dapat diproses tanpa kehadiran ibu kandung Ameyra Amanda untuk tujuan melengkapkan beberapa dokumen berkaitan.

Adam berharap sangat jika Jessica Anak Francis Matu atau sesiapa yang mengenalinya terbaca mengenai berita ini dapat menghubungi beliau di talian 013-8941964 bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi kini. – Sarawakvoice