Awasi individu menyamar pegawai CIDB

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengingatkan semua kontraktor binaan di seluruh negara berwaspada dengan individu-individu yang menyamar sebagai pegawai penguasa CIDB.

Ini berikutan terdapat laporan baharu yang diterima CIDB daripada seorang kontraktor berhubung panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai penguasa CIDB.

Dalam kenyataan medianya hari ini, individu terbabit memberitahu telah meminta sejumlah wang dengan alasan ia adalah untuk menyelesaikan masalah pekerja asing syarikat tersebut.

“Modus operandi sindiket penipuan ini adalah mengenal pasti syarikat kontraktor yang sedang menjalankan kerja-kerja pembinaan.

“Mereka kemudian menghubungi pengurus projek binaan tersebut sambil menyatakan mereka mempunyai bukti tentang kesalahan yang dilakukan syarikat berkenaan.

Individu yang menyamar sebagai pegawai penguasa CIDB itu kemudiannya mengarahkan kontraktor terbabit supaya mengeluarkan sejumlah besar bayaran, kononnya untuk meluluskan permohonan segera Kad Hijau pekerjanya.

“Jika tidak, mereka akan dikenakan kompaun lebih tinggi mengikut Akta 520 (Pindaan 2011) CIDB.

Dalam kes ini, kata kenyataan itu lagi, syarikat kontraktor tersebut mengambil langkah bijak dengan merujuk perkara ini terus kepada CIDB.

Sehubungan itu katanya, CIDB mengingatkan kontraktor dan personel binaan bahawa sebarang pembayaran kepada CIDB hanya boleh dilakukan di kaunter pejabat negeri atau cawangan CIDB ataupun melalui akaun CIDB.

“Sekiranya digesa menerima panggilan daripada mana-mana individu yang mencurigakan, kontraktor diminta mendapatkan butir-butir lanjut pemanggil seperti nama penuh pemanggil, nombor telefon, alamat pejabat dan maklumat lain yang dianggap penting sebagai pengesahan.

Pada masa yang sama, mangsa diminta mencatat nombor plat kenderaan yang dipandu dan mengambil gambar pegawai berkenaan jika perlu, sekiranya individu atau mana-mana pihak ingin membuat penguatkuasaan di tapak bina.

Sebarang pertanyaan kata kenyataan itu lagi, boleh menghubungi CIDB Careline di 1 300 88 CIDB (2432) atau CIDB cawangan negeri terdekat untuk membuat pertanyaan atau pengesahan. – Sarawakvoice