Mat Over tampar David Teo depan PM dalam TN50 penggiat seni malam tadi

PUTRAJAYA: Hanya kerana bercakap dengan nada tinggi dan merampas microfon daripada moderator, Datuk Rosyam Noor, penerbit dan pengarah David Teo “makan penampar” di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak malam tadi.

David ditampar oleh pelakon veteran asal Terengganu, Sulaiman Yassin atau Mat Over ketika menjadi wakil artis Cina menyuarakan pandangan semasa sesi Dialog TN50 bersama penggiat seni di kediaman Perdana Menteri, Seri Perdana.

Sejurus insiden itu, kedua-dua artis tersebut dileraikan oleh pengawal keselamatan, manakala Perdana Menteri yang sedikit terkejut meminta majlis diteruskan.

Rosyam yang sebelum itu menyifatkan tindakan David agak biadap turut memohon maaf atas nama penggiat seni.

Sesi kemudian berada dalam kawalan dan kedua-dua artis itu kelihatan bersalaman pada akhir majlis, yang disiarkan secara langsung dalam FB Live.

David terkenal dengan pelbagai genre filemnya, manakala Sulaiman dikenali sebagai watak Mat Over dalam sitcom “Pi Mai Pi Mai Tang Tu. – Sarawakvoice