Mat Over mahu ajar David Teo erti beradab dan hormat di depan pemimpin

KUALA LUMPUR: Pelawak terkemuka Sulaiman Yassin yang terjebak dalam kontroversi selepas menampar David Teo di hadapan Perdana Menteri malam tadi mengakui tidak kesal atas tindakannya itu.

Sulaiman seperti dilaporkan sebuah akhbar tabloid menjelaskan bahawa beliau bertindak sedemikian kerana mahu mengajar penerbit filem itu mengenai adab terhadap pemimpin.

“Saya tak rasa apa yang saya buat itu keterlaluan kerana tindakan berkenaan untuk mengajarnya cara beradab terutama di hadapan pemimpin yang menjadi tuan rumah pada acara ini,” kata Sulaiman yang lebih dikenali sebagai Mat Over.

“Saya juga tidak kesal dengan tindakan ini kerana sikap David tidak menghormati Perdana Menteri dan Rosyam selaku moderator. Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia perlu ada adab dan hormat-menghormati,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Sementara itu, David berkata, dia berhadapan detik agak mencemaskan ketika mempersoalkan tindakan Rosham Nor hanya memberi tumpuan kepada mereka barisan hadapan dalam Majlis Dialog TN50 bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam tadi.

Dialog itu adalah sebagai langkah untuk mendapatkan masukan daripada golongan artis tanah air.

“Tiba-tiba saja dia meluru serta menampar saya. Saya hanya mempersoalkan tindakan Rosyam tidak menggunakan pentas bulat itu dengan sepenuhnya dan hanya fokus satu arah di depan saja sedangkan saya juga mahu bertanyakan soalan kepada Perdana Menteri,” kata penerbit yang berjaya menerbitkan filem pecah panggung itu.

Namun, pada penghujung majlis, Mat Over dan David bersalaman di hadapan Perdana Menteri. – Sarawakvoice