Usah terpengaruh hasutan pembangkang, izinkan guru agama Islam dari luar untuk atasi kekurangan – Dr Juanda

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya semalam meminta Kerajaan Negeri melaksanakan secara serius pertambahan guru-guru agama di negeri ini.

Timbalan Presiden Majlis Agama Islam Sarawak itu berkata, kekurangan ini tidak seharusnya berlaku, kerana negeri ini telah lama merdeka.

“Kalau guru anak tempatan tidak cukup, latihlah mereka. Usah lengah membuang masa.

“Jika belum cukup lagi, gunakan sementara tenaga dari luar seperti Semenanjung atau Sabah,” tegasnya ketika membentang usul penghargaan di Dewan Undangan Negeri Sarawak semalam.

Jelasnya, pengajaran subjek agama Islam di mana-mana adalah serupa.

“Tidak ada beza. Yang menjadi masalah adalah individu, bukannya silibus dan asal-usul kelahiran pengajarnya.

“Saya lahir daripada sistem yang sama dan menuntut agama Islam agak lama di Semenanjung Malaysia, tetapi saya kekal berfikiran seperti anak Sarawak yang lain.

“Agama Islam itu sama sahaja di mana-mana, baik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” tegasnya.

Juanda berkata, pentadbir Islam di negeri ini seharusnya tidak tunduk dan terpengaruh kepada pembangkang.

“Pembangkang tidak akan sokong anak-anak kita dapat pendidikan yang secukupnya.

“Tidak usahlah kita terlalu taksub dan terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang hanya mahu mengganggu keharmonian amalan beragama di Sarawak.

Jelas bekas Mufti Perlis ini lagi, beliau tidak ada masalah untuk sesiapa sahaja mengajar subjek ini asalkan berkelayakan.

“Bahkan jika pembangkang seperti Ahli YB Kota Sentosa (Chong Chieng Jen) mahu menjadi guru subjek agama Islam pun tidak apa.

“Yang penting tahu menjawab ‘Ma Rabbuka’ secara betul. Barulah layak dipanggil Ustaz Kota Sentosa dan boleh jadi tuan imam!

Tegasnya, jangan kerana ketaksuban melulu dan terpengaruh akan agenda pembangkang, pendidikan anak-anak Islam terabai.

“Penting untuk kita kekalkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat.

“Oleh itu, semua pihak hendaklah berdisiplin dengan mengelakkan diri daripada mengulas atau campur tangan dalam urusan agama lain.

“Biarlah setiap agama itu diuruskan oleh ahlinya dan pakar dalam bidang berkenaan,” tambahnya. – Sarawakvoice