Dr Juanda: Usah samakan poligami dengan jenayah, hukuman tidak harus libatkan penjara dan denda beribu

KUCHING: Usah samakan pesalah agama seperti penjenayah dan laksanakan hukuman yang sewajarnya dan bukan penjara, kata Adun Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya ketika membentangkan usul penghargaannya semalam.

Beliau merujuk beberapa kesalahan matrimoni di bawah Ordinan Undang-undang Keluarga Islam Sarawak 2001.

“Sebahagian penalti yang dikenakan ketika ini merupakan hukuman takzir, akibat melanggar peruntukan undang-undang pentadbiran syariah, yang bukannya hukum syarak.

“Misalnya Seksyen 127 berkaitan poligami tanpa kebenaran mahkamah mengakibatkan denda RM3 ribu atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

Poligami katanya, bukanlah suatu dosa dan bukanlah jenayah.

“Ia sah jika rukun nikahnya lengkap. Dan jika ia dilakukan tanpa kebenaran mahkamah syariah, ia haruslah menjadi kesalahan di bawah undang-undang pentadbiran mahkamah, bukan kesalahan syarak.

Penalti yang dikenakan sekarang, kata Dr Juanda adalah memperlakukan pengamal poligami tanpa kebenaran mahkamah syariah ini seperti penjenayah.

“Ironinya, ia mengakibatkan sebahagian umat Islam yang melanggar Seksyen 127 seperti penjenayah sedangkan penjenayah seksual lain tidak diambil tindakan berdasarkan hukum syarak sebenar.

“Lebih malang, jika ia melibatkan penjawat awam, hukuman yang dikenakan termasuklah buang kerja dan sebagainya, sedangkan mereka hanya melanggar undang-undang yang bersifat pentadbiran.

Gambar hiasan

Oleh itu kata Dr Juanda lagi, beliau mencadang hukuman penjara bagi kesalahan ini dimansuhkan dan hanya dikenakan kompaun.

“Malah nilai kompaun memadai lima ratus, janganlah beribu-ribu ringgit bagi kesalahan kali pertama dan ada tambahan untuk kesalahan berikutnya,” tambahnya.

Dr Juanda turut mencadangkan pindaan serupa dengan melaksanakan hukuman kompaun untuk kesalahan bagi Seksyen 33, 34, 35, 36, 37, 38, 50(5), 128, 129, 130, 131, 132, 133, 134, 135, 136, 138 dan 140.

“Cadangan ini bukan bererti melepaskan pesalah daripada kesalahan tetapi merupakan alternatif untuk mengelakkan mudarat yang lebih besar,” jelasnya. – Sarawakvoice