Turki, Mongolia luah hasrat mahu sertai Asean

MANILA: Salah satu syarat menyertai gabungan Asean ialah negara tersebut secara geografi mesti berada dalam lingkungan wilayah Asia Tenggara seluas 4,650,500 kilometer itu.

Namun, selepas menyatakan hasrat mahu menyertai Asean, Turki dan Mongolia yang berada di luar jalur Asia Tenggara mendapat perhatian dan sokongan Presiden Filipina Rodrigo Duterte agar dibenar menyertai gabungan 10 negara Asean itu.

Selepas penubuhan 8 Ogos 1967 melalui Pengisytiharan Bangkok, Asean kini mempunyai 10 negara anggota terdiri daripada Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, Vietnam dan Timor Leste bertaraf negara pemerhati.

Memetik laporan AFP pada Selasa, Duterte mengatakan, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Mongolia Jargaltulga Erdenebat sempat berjumpa beliau di tengah-tengah kesibukan pertemuan kemuncak Belt and Road Forum for International Cooperation di Beijing.

Pada pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin berkenaan bertemu Duterte sesuai dengan peranan Filpina menjadi Pengerusi Asean pada sesi ini dan meluahkan keinginan negara mereka menyertai Asean.

“Mereka mahu menyertai Asean. Sesuai saya menjadi ketua, mereka mahu saya menaja mereka dan saya bersetuju dengannya,” ujar Duterte.

Syarat lain menjadi negara anggota Asean ialah selain negara pemohon mesti berada dalam wilayah Asia Tenggara, penyertaan juga harus disokong oleh negara anggota. – Sarawakvoice