Sokongan pengundi Cina terhadap BN diyakini meningkat pada PRU-14

SERIAN: Lebih ramai pengundi Cina di Serian dijangka berdiri teguh di belakang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem, keyakinan terhadap peningkatan sokongan pengundi Cina itu adalah berdasarkan kepada jumlah pertambahan penyertaan wanita Cina dalam pelbagai aktiviti sosial dan politik anjuran BN sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, ketika ini, terdapat lebih ramai penglibatan golongan wanita Cina yang bekerjasama dalam pelbagai jawatankuasa dalam menganjurkan banyak acara di kawasan Parlimen Serian berbanding sebelumnya.

“Pada masa lalu, hanya segelintir wanita Cina yang hadir di majlis-majlis apatah lagi yang dianjurkan oleh BN.

“Tetapi hari ini, wanita Cina terlibat sama dalam jawatankuasa kerja. Wanita Cina menjadi fungsi utama dalam kegiatan sosial dan politik pihak berkaitan, ini bagi saya adalah satu perkembangan yang baik dalam masyarakat Cina di Serian,” katanya berucap dalam Majlis Makan Malam Alumni Persatuan Sekolah-Sekolah Chung Hua Serian yang diadakan di Dewan Masyarakat Serian di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, sokongan untuk beliau semasa pilihan raya kekal kukuh dalam kala– ngan pengundi Dayak kerana golongan wanitanya sentiasa berada di barisan hadapan dalam pelbagai aktiviti sosial dan politik di kampung dan rumah panjang.

Beliau berkata, sokongan padu diberikan itu adalah wajar kerana beliau telah banyak membantu pelbagai pergerakan wanita di kawasan Parlimen Serian sebelum ini. Dalam perkembangan lain, beliau mengingatkan masyarakat Cina yang majoritinya tinggal di dalam dan sekitar bandar Serian, akan faedah yang diperoleh kaum itu melalui program pembangunan utama dalam menaikkan taraf Serian sebagai sebuah bandar oleh pihak kerajaan.

“Jadi, saya berharap masyarakat Cina di Serian sentiasa menyokong kemajuan pembangunan yang akan dibawa oleh kerajaan BN.

“Serian akan menjadi hab ekonomi, sebuah bandar baharu, pusat konvensyen, sebuah institut latihan perindustrian dan banyak lagi seperti bandar raya Kuching. Ini adalah antara perkembangan yang akan membawa Serian ke satu tahap sosioekonomi yang baharu,” ujarnya.