YB Simoi, sila buat kerja rumah! SK Pulo Seduku kini hampir siap, tidak lagi terbengkalai

SRI AMAN: Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Pulo Seduku, Datuk Wan Abdillah Wan Abdul Rahman hari ini tampil membuat penjelasan berhubung status bangunan sementara sekolah itu yang dikatakan “terbengkalai”.

Menurutnya, apa yang dilaporkan Adun Lingga, Simoi Peri dalam perbahasan usul di Dewan Undangan Negeri Sarawak semalam jelas menunjukkan beliau tidak membuat semakan atau “kerja rumah”.

“Sebagai YDP PIBG sekolah berkenaan, saya ingin menjelaskan bahawa projek sekolah berkenaan telah dibina secara IBS di bawah Kementerian Pendidikan.

“Kementerian berkenaan pula telah melantik kontraktor utama dari Semenanjung, tanpa melalui jabatan di peringkat negeri.

Katanya, kontraktor utama melantik subkontraktor dari Semenanjung manakala kontraktor lokal yang melaksanakan tugas sekarang merupakan subkontraktor kedua.

“Beliau bekerja pada harga yang jauh lebih murah berbanding harga asal projek tersebut.

Isu ini tercetus apabila kontraktor lokal ini berhenti kerja atas arahan subkontraktor pertama dari Semenanjung kerana tidak menerima pembayaran daripada kontraktor utama.

“Tetapi syukur, selepas saya berhubung terus dengan Kementerian Pendidikan di Putrajaya, pekerjaan yang tertangguh bersambung semula.

“Ia dijangka siap pada Jun depan. Itu janji kontraktor kepada kementerian, sekolah dan saya.

Sehubungan itu kata Wan Abdillah, tidak timbul perkataan ‘terbengkalai’ seperti diperkata oleh Adun berkenaan.

“Projek sekarang sedang giat dilaksanakan dan telah siap 96 peratus; dan pagi semalam, saya dan guru besar berkunjung ke lokasi untuk memantau perkembangan,” katanya.

Tegasnya, penjelasan tersebut adalah untuk menerangkan situasi sebenar kerana isu itu diputar secara salah di DUN.

“Pihak yang berkenaan malah enggan mengakui projek tersebut bermasalah sebelum ini, dan satu-satunya cara untuk menyelesaikannya adalah dengan berhubung langsung dengan kementerian berkaitan.

“Oleh itu, tidak wajar beliau menyifatkannya kini sebagai terbengkalai, tanpa menjenguk sekolah tersebut,” tambahnya.

Sekolah itu dibangunkan semula bagi memindahkan murid-murid yang masih bersekolah di tempat asal di Pulo Seduku, yang berhadapan ancaman buaya. – Sarawakvoice