Simoi mohon luluskan RM20 juta untuk pembangunan Maludam

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Simoi Peri memohon peruntukan RM20 juta yang dijanjikan pada Pilihan Raya Negeri lepas oleh pemimpin dihulurkan bagi pembangunan kawasan Maludam.

Pada perbahasan usul penghargaan atas ucapan Yang Dipertua Negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa, Simoi berkata perkara tersebut sudah beliau ajukan kepada Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Menurut Simoi beliau sendiri mengadakan perbincangan dengan agensi kerajaan berkaitan.

Agensi berkenaan sedia menghulur  kerjasama terhadap pelaksanaan projek pembangunan di Maludam apabila peruntukan yang dijanjikan itu diluluskan kelak.

Dalam pada itu, Simoi meminta kerajaan memberikan perhatian kepada isu sekolah daif di Maludam seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Maludam yang sudah berusia 60 tahun masih beratap zink dan berdinding papan.

Sekolah lain yang perlukan perhatian ialah SK Sembayang serta SK St Dunstan dengan blok bangunan papannya usang, di samping memulihkan padang sukannya.

SJK Chung Hua Lingga dan SJK Chung Hua Maludam turut perlukan perhatian.

Simoi menggesa projek SK Pulau Seduku segera disiapkan demi kemudahan pelajar. – Sarawakvoice