Selepas berlalu tempoh kritikal, keadaan Presiden Pas  bertambah baik

KUALA LUMPUR: Keadaan kesihatan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertambah baik selepas berlalu  tempoh kritikal 24 jam pertama menjalani pembedahan menggantikan injap jantungnya di Institut Jantung Negara (IJN), kata Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar.

“Alhamdulillah kesihatan Tuan Guru semakin bertambah baik selepas berlalu tempoh 24 jam pertama tempoh kritikal selepas pembedahan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Hadi turut menyampaikan salamnya kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan beliau.

“Pagi ini, Tuan Guru juga nampak keceriaannya dan sudah mula menjamah makanan lembut,” katanya.

Di samping itu, beliau juga memaklumkan pihak keluarga dan kepemimpinan Pas juga mengajak ahli dan penyokongnya terus berdoa ke hadrat Allah agar proses pemulihan kesihatan Abdul Hadi berjalan lancar dan terbaik.

“Sebagaimana yang disebutkan dalam kenyataan media IJN semalam, lawatan pada peringkat ini hanyalah terhad untuk keluarga terdekat sahaja sehingga dimaklumkan kelak,” katanya lagi. – Sarawakvoice